Jumaat, 10 Ogos 2018 | 5:56pm

GPS nafi Kabinet bayangan BN, PAS

KUCHING: Hubungan yang baharu terjalin antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Kerajaan Persekutuan cuba digugat pihak tertentu yang mendakwa dua Ahli Parlimen GPS disenaraikan dalam Kabinet bayangan Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Dakwaan yang disebar di media sosial menyenaraikan Datuk Seri Fadillah Yusof untuk kembali mengisi portfolio Menteri Kerja Raya dan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan mengisi portfolio Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Dua pemimpin terbabit dalam kenyataan bersama hari ini mendakwa ia hanyalah perbuatan nakal yang direka oleh tentera siber yang bekerja untuk pihak tertentu bagi menyebarkan fitnah terhadap mereka.

“Tidak pernah ada sebarang perbincangan mengenai Kabinet bayangan, membabitkan BN, PAS dan GPS. Ia hanya fitnah yang sengaja direka oleh pihak tertentu yang mungkin bermotifkan kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

GPS adalah gabungan bekas parti komponen BN iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP).

Dua pemimpin terbabit berkata, mereka sudah tidak ada kaitan dengan BN, sebaliknya mengamalkan pendekatan berkecuali serta mesra kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg) sebelum ini, GPS mesra kerajaan PH dan akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan demi kepentingan negara, hak negeri serta kepentingan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan negeri.

“GPS akan melindungi kepentingan semua rakyat Sarawak tanpa mengira saiz sesuatu komuniti dalam cara yang inklusif dan GPS juga akan fokus kepada kepentingan dan hak Sarawak berdasarkan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963),” katanya.

Berita Harian X