Khamis, 2 Ogos 2018 | 5:04pm
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto BERNAMA

'Tiada puak dalam PKR'

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menafikan berlaku perpecahan dalam parti itu dan kerajaan.

"Tidak benar dan tolong jangan layan berita seperti itu," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin kononnya berlaku amalan berpuak dalam PKR.

Azmin berkata, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerap menasihatkan pemimpin dan ahli parti supaya menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ini hanya agenda UMNO untuk memecah-belahkan Pakatan Harapan kerana kita kini sangat kuat dan bersatu," katanya.

Ditanya mengenai jawatan bakal ditandinginya dalam pemilihan PKR, beliau menegaskan keputusan akan dibuat selepas Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis selesai.

Berita Harian X