Rabu, 1 Ogos 2018 | 1:46pm
MOHD Zawawi beramah mesra bersama penduduk tempatan ketika berkempen untuk PRK Sungai Kandis di Chong Kok Kopitiam, Klang. - Foto Syarafiq Abd Samad

DUN Selangor tak perlu suara tambahan pembangkang - Mohd Zawawi

SHAH ALAM: Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berikrar mahu terus melaksanakan agenda reformasi yang diperjuangkan kerajaan negeri dan Pakatan Harapan (PH) jika diberi mandat menjadi wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Mohd Zawawi berkata, beliau amat komited dan seiring dalam mendukung aspirasi rakyat serta parti bagi melaksanakan agenda reformasi dalam setiap perkara berkaitan pentadbiran di Selangor.

"Rakyat terutama pengundi DUN ini perlu terus bersama dengan kerajaan yang telus, berintegriti, adil dan sentiasa memerangi unsur rasuah dalam urus tadbir negara.

"Selain itu, saya menyokong kebebasan penyaluran maklumat kepada semua pihak, termasuk kepada media kerana kerajaan PH tidak akan menyembunyikan apa-apa maklumat selagi ia tidak bertentangan undang-undang atau menyentuh isu berkaitan kerahsiaan dan keselamatan.

"Saya juga berikrar memperjuangkan dasar kerajaan negeri yang sentiasa memelihara kepentingan rakyat dan memfokuskan sepenuhnya berkhidmat sebagai pemimpin setempat," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR, Jalan Bukit Kemuning di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor, Nik Mohd Yusoff Nik Ismail.

Mohd Zawawi berkata, beliau turut memberi jaminan akan sentiasa membawa suara rakyat ke dalam DUN Selangor supaya dapat didengari dengan adil dan tanpa pilih kasih.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa DUN negeri ini tidak memerlukan suara tambahan daripada parti pembangkang.

"Parti pembangkang tidak mampu melaksanakan kebajikan kepada rakyat kerana kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan ketika ini bawah pentadbiran PH," katanya.

Ketika ditanya dakwaan wujud isu kronisme dalam PKR, Mohd Zawawi berkata, setiap perkara atau tuduhan, termasuk perkara seumpama itu, perlu disiasat terlebih dulu.

"Adakah ia benar-benar berlaku dalam PKR? Jika berlaku, sejauh mana kebenarannya atau ia hanya persepsi tidak baik kepada parti.

"Jika benar, ia perlu dibuktikan dulu," katanya.

12 dibaca
Berita Harian X