Rabu, 25 Julai 2018 | 10:56pm

PH tak bantah Zahid jadi Pengerusi PAC

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) tidak akan membantah sekiranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC).

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang juga bekas anggota PAC, bagaimanapun berkata pemilihan itu perlu berdasarkan undi yang dibuat Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

"Dalam manifesto PH, memang sudah janji akan pilih Pengerusi PAC daripada kalangan pembangkang (Ahli Parlimen) kerana kita mahu adanya semak dan imbang pada kerajaan.

"Ini adalah satu langkah penting bagi membuktikan kerajaan serius dalam melakukan reformasi di Parlimen dan menjadikan Parlimen kita berada di kelas pertama dan terunggul," katanya ditemui pada majlis penyerahan RM1 juta oleh syarikat perkapalan dan logistik Pelabuhan Klang kepada Tabung Harapan Malaysia.

Mengulas lanjut, Setiausaha Publisiti DAP itu berkata, sekiranya Ahmad Zahid menerima undian yang banyak, beliau akan dipilih sebagai Pengerusi PAC.

"Kita kena lihat pada pemilihan yang dibuat Ahli Parlimen," katanya.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong mengesahkan hanya nama Ahmad Zahid sahaja sedang dipertimbangkan ketika ini untuk mengisi jawatan Pengerusi PAC.

TONY Pua ditemui media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Harapan Malaysia di Hotel Acappella, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X