Rabu, 18 Julai 2018 | 6:11pm
MENTERI Besar, Aminuddin Harun menerima dokumen pengisytiharan harta yang diwakili EXCO Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri, Teo Kok Seong pada majlis penyerahan dokumen pengisytiharan harta oleh EXCO Kerajaan Negeri di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Negeri, Seremban. - Foto Hazreen Mohamad

PH Negeri Sembilan yang pertama isytihar aset

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menjadi negeri pertama memenuhi janji manifesto Pakatan Harapan (PH) mengenai pengisytiharan aset apabila 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) berbuat demikian, hari ini.

Majlis pengisytiharan di Wisma Negeri itu disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Ramli Ismail.

Turut hadir, Menteri Besar, Aminuddin Harun yang juga pengerusi PH negeri.

Pada sidang media selepas majlis itu, Aminuddin yang sudah berbuat demikian sebelum ini, berkata senarai lengkap aset yang diisytiharkan akan dimuat naik ke laman web rasmi kerajaan negeri di www.ns.gov.my dan dipamerkan selama tiga bulan.

"Orang ramai akan dapat melihat sendiri aset dimiliki oleh EXCO kerajaan negeri di laman web berkenaan.

"Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH yang lain juga akan membuat pengisytiharan aset secara berperingkat," katanya sambil berkata perancangan supaya ahli keluarga ADUN PH turut mengumumkan aset mereka masih dalam perbincangan.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, pengisytiharan aset itu akan diadakan setiap tiga tahun bagi memastikan integriti dalam kalangan EXCO dan ADUN PH.

"Ini adalah langkah memastikan wakil rakyat PH telus dan bebas daripada rasuah. Ketelusan dan integriti penting untuk memastikan kita dapat menguruskan negeri dengan lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin mengalu-alukan ahli parti pembangkang untuk mengisytiharkan aset.

"Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja daripada pihak pembangkang jika mahu mengisytiharkan harta mereka. Namun, setakat ini, kami tidak menerima apa-apa permintaan untuk berbuat demikian," katanya.

Berita Harian X