Rabu, 18 Julai 2018 | 4:47pm
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Azmin sah tidak akan menentang Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak akan menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merebut jawatan Presiden PKR yang berlangsung bulan depan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

"Ya (Azmin tidak akan bertanding) sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan Presiden PKR.

"Saya cukup pasti Datuk Seri (Mohamed) Azmin (Ali) akan menjadi orang di belakang beliau (Anwar) yang akan sentiasa bersama beliau (Anwar) untuk menerajui PKR," katanya.

Mengulas bagaimana nama Azmin muncul sebagai calon Presiden PKR, Muhammad Hilman berkata itu adalah perkara biasa dalam mana-mana pemilihan parti.

Ini kerana, katanya, dalam PKR sendiri, beliau mengambil kira sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi dan keterbukaan, apa-apa jawatan boleh dipertandingkan.

"Cuma dalam hal ini, saya kira apa yang sudah dizahirkan oleh Datuk Seri (Mohamed) Azmin (Ali) selama ini.

"Kesetiaan beliau kepada perjuangan PKR dan kesetiaan beliau kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bagi saya tiada taranya dan sama sekali tidak boleh dipertikaikan.

"Dalam hal ini saya kira selepas pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan Presiden PKR, saya pasti Datuk Seri (Mohamed) Azmin menyambut baik kenyatan itu," katanya.

Mohammad Hilman juga percaya dan yakin Azmin akan menawarkan diri sekali lagi untuk mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.

Gandingan Anwar dan Azmin, katanya adalah sebuah kombinasi yang mantap dan boleh dikatakan sukar ditewaskan.

Berita Harian X