Sabtu, 23 Jun 2018 | 4:34pm
DATUK Seri Hishammuddin Tun Hussein. - Foto NSTP

Hishammuddin tetap setia dengan UMNO

KLUANG: Penyandang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan pendiriannya akan terus bersama parti itu walaupun tidak menawarkan diri untuk bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti itu minggu depan.

Beliau berkata, tindakan tidak bertanding itu dibuat atas tanggungjawabnya terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selain ingin memberikan laluan kepada barisan kepemimpinan baharu menggalas tugas menerajui serta menyuburkan semula asas perjuangan UMNO agar terus relevan dan boleh diterima rakyat, khususnya orang Melayu.

"Apa yang penting sekali adalah amanat menjadikan UMNO sebagai tulang belakang mempertahankan kedaulatan bangsa, agama dan negara seperti mana asas perjuangan parti yang menjadi pegangan sejak ia mula ditubuhkan lebih 60 tahun lalu.

"Biarlah parti ini mempunyai ahli yang sedikit, namun mereka yang berada di dalamnya orang yang benar-benar berjuang untuk kepentingan parti dan bukan untuk peribadi," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong, di Dewan Datuk Onn Taman Seri Lambak di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R Vidyananthan; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Abdul Ghani Abd Rashid dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Noraslina Zainal Abidin.

Hishammuddin yang turut memangku jawatan Timbalan Presiden UMNO berkata, pada hakikatnya parti itu masih mendapat sokongan yang kuat daripada rakyat negara ini yang boleh dilihat melalui kemenangan calon UMNO dalam PRU-14 lalu.

"Ramai dalam kalangan ahli UMNO mahu parti ini bangkit semula melalui semangat dan barisan kepimpinan baharu serta menyusun barisan perjuangan lebih ampuh bagi menghadapi cabaran yang lebih getir pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin menyifatkan rancangan berdebat antara calon Presiden ada baik buruknya sekiranya dijadikan asas untuk berlakunya perpecahan di seterusnya menyebabkan parti terbahagi kepada kumpulan tertentu.

"Namun, apa yang baiknya setiap perincian yang dibangkitkan ketika debat ini akan digunakan sebagai tindakan susulan untuk memperkasakan parti dan seterusnya merampas semula barisan kepimpinan negara pada PRU akan datang," katanya.

Berita Harian X