Jumaat, 25 Mei 2018 | 5:02pm
NOR Azam (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis terhadap UMNO Perlis di hadapan Masjid Al Hussein, Kuala Perlis selepas solat Jumaat. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Laporan polis ke atas Shahidan, 9 ADUN BN

KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis dari Pakatan Harapan, Nor Azam Karap hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan sembilan ADUN BN kerana menghina Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam isu pelantikan Menteri Besar negeri itu.

Nor Azam berkata, dia berharap pihak polis akan segera menyiasat Shahidan, yang juga Ahli Parlimen Arau kerana mempertikaikan keputusan Raja Perlis secara terbuka melalui media.

"Saya terpanggil untuk membuat laporan polis kerana belum pernah ada individu yang berani mencabar keputusan Raja Perlis melalui media.

"Dia (Shahidan) tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah menghina Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam sidang media yang dihadiri oleh ramai wartawan.

"Jika kita lihat, dia seakan-akan tidak mahu mengambil kisah mengenai perkataan 'murka' oleh Tuanku sewaktu ditanyakan oleh wartawan, malah mempersoalkan kredibiliti perkataan 'murka' itu," katanya katanya ketika ditemui di Masjid Al-Hussein, Kuala Perlis di sini.

Nor Azam berkata, dia juga membuat laporan polis ke atas seorang pengguna Facebook (FB) yang dikenali sebagai Nazrin Ayen kerana didakwa memuat naik status yang turut menghina Raja Perlis.

"Kedua-dua individu berkenaan dilihat menghina Tuanku Raja Perlis berhubung tindakan mereka yang mempertikaikan pelantikan Menteri Besar di negeri ini semalam," ujarnya.

Nor Azam berkata, pihaknya kesal apabila tokoh politik negara ini seakan tidak mengetahui Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri ini sehingga berani mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap institusi diraja melalui media.

Beliau turut memfailkan laporan ke atas sembilan ADUN BN yang memboikot majlis pelantikan Menteri Besar negeri walaupun pihak Istana Arau sudah menyerahkan surat jemputan dua hari sebelum majlis itu berlangsung.

"Tuanku sudah menggunakan haknya sebagai raja negeri ini untuk memilih Menteri Besar di negerinya dan sebagai rakyat yang taat sepatutnya kita menghormati keputusan itu, bukannya menghina institusi diraja sehingga boleh menimbulkan kemarahan rakyat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima laporan terbabit dan siasatan terperinci sedang dilakukan oleh pihaknya.

Kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis, bermula apabila Shahidan, yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, menamakan adiknya Datuk Ismail Kassim sebagai calon Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Azlan Man.

Bagaimanapun, pihak Istana Arau menolak pencalonan Ismail kerana tidak mahu Menteri Besar menjadi boneka kepada pihak luar.

Dalam sidang medianya di Kuala Lumpur semalam, yang turut dihadiri oleh sembilan ADUN BN itu, Shahidan mempertikaikan keputusan Istana melantik semula Azlan sedangkan dia tidak mendapat sokongan majoriti ADUN BN.

65 dibaca
Berita Harian X