Selasa, 15 Mei 2018 | 4:48pm
KETUA Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, . - Foto Nadim Bokhari

Rakyat Sarawak perlu faham dasar ekonomi digital - KM

KUCHING: Rakyat Sarawak perlu diberi kefahaman jelas mengenai dasar ekonomi digital yang diperkenalkan bertujuan melonjakkan ekonomi negeri itu ke tahap lebih tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata kegagalan rakyat memahami konsep ekonomi digital itu boleh menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Negeri kelak.

Beliau berkata dasar ekonomi digital penting kerana ia menjadi tunjang kepada pentadbiran kerajaan negeri.

"Seorang calon pilihan raya yang mempunyai aspirasi membangunkan ekonomi digital kalah selepas pengundi tidak memahami apa yang diperjuangkan ketika berkempen.

"Saya juga takut kalah dalam pilihan raya jika rakyat tidak diberi pendedahan membabitkan ekonomi digital," katanya dalam dialog ketika menghadiri Persidangan Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) 2018, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN Sarawak, hilang enam kerusi berbanding 25 yang dimenangi pada PRU-13.

Pakatan Harapan (PH) mengekalkan semua enam kerusi pada PRU-13 dan menambah enam kerusi lagi pada PRU-14, menjadikan jumlah kerusi PH ketika ini ialah 12.

Esok, Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat khas PBB di Ibu Pejabatnya, di Jalan Bako, Petra Jaya, berkenaan keputusan PRU-14, pada 9 Mei lalu.

24 dibaca
Berita Harian X