Khamis, 10 Mei 2018 | 5:26pm
DATUK Seri Idris Haron (kanan) bersama isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah (kiri) menunjukkan dakwat kekal dijari selepas mengundi di saluran tiga. - Foto Rasul Azli Samad

BN Melaka tumbang disebalik formula '24451'

Analisis Melaka PRU-14

PERCATURAN formula '24451' Barisan Nasional (BN) Melaka gagal diterjemahkan dalam bentuk undi apabila tewas kepada Pakatan Harapan (PH) diterajui PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kali ini.

Sasaran awal bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mahu menawan 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima kerusi Parlimen tersasar selepas sekadar menang 13 kerusi DUN dan dua Parlimen iaitu di Masjid Tanah dan Jasin.

Kebangkitan suara rakyat yang melanda seluruh negara menyebabkan negeri Hang Tuah itu turut terkena tempias apabila PH berjaya memenangi 15 kerusi DUN sekali gus melayakkan gabungan diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) membentuk majoriti mudah.

Faktor pengundi atas pagar dan pengundi muda jelas memainkan peranan di sebalik gelombang kebangkitan PH di negeri itu yang didorong akibat desakan kos sara hidup terutama isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang menenggelamkan wibawa Datuk Seri Najib Razak serta BN secara keseluruhannya.

Gelora kebangkitan rakyat Melaka dapat disaksikan melalui perhimpunan anjuran PH yang sebenarnya sudah digerakkan lebih setahun lalu.

Kemuncak peralihan sokongan rakyat jelas dapat dilihat ketika Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama kepemimpinan gabungan itu mengadakan perhimpunan besar-besaran di Bukit Piatu pada malam 4 Mei lalu.

Maka penolakan rakyat kepada BN jelas diterjemahkan pada kertas undi semalam.

Idris yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Udang gagal membendung kebangkitan rakyat, termasuk mempertahankan beberapa kerusi 'simpanan tetap' BN yang kini beralih kepada PH.

Kejutan terbesar apabila bekas Ketua Menteri, Tan Sri Mohd Ali Rustam gagal dalam dua cubaan memenangi Parlimen Hang Tuah daripada penyandangnya daripada PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Mohd Ali mendapat 30,427 undi berbanding Shamsul Iskandar yang memperoleh 39,067 undi dan calon PAS, Dr Md Khalid Kassim dengan 7,089 undi.

Mengalami nasib sama, bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah yang mendapat 7,843 undi selepas tewas kepada bekas pemimpin muda UMNO, Mohd Rafiq Naizamohideen daripada PKR yang memperoleh 12,102 undi manakala calon PAS pula Rafie Ahmad dengan 1,552 undi.

Keputusan terbaik BN hanya dicatatkan di Parlimen Masjid Tanah yang disandang Ketua Puteri UMNO, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Semua lima kerusi DUN di parlimen itu iaitu Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu dan Taboh Naning turut dimenangi BN.

PH pula memenangi kerusi DUN Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Paya Rumput, Klebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Bandar Hilir, Telok Mas dan Bemban.

Bagi kerusi Parlimen, selain mengekalkan Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka, Tangga Batu dan Alor Gajah turut ditawan PH.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Katil antara nama yang disebut-sebut bakal dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

INFO

Kerusi Parlimen dan DUN dimenangi BN

- Parlimen Masjid Tanah

- Parlimen Jasin

- DUN Kuala Linggi

- DUN Tanjung Bidara

- DUN Ayer Limau

- DUN Lendu

- DUN Taboh Naning

- DUN Asahan

- DUN Sungai Udang

- DUN Pantai Kundor

- DUN Ayer Molek

- DUN Rim

- DUN Serkam

- DUN Merlimau

- DUN Sungai Rambai

Berita Harian X