Khamis, 10 Mei 2018 | 4:07pm
NIK Omar Nik Aziz beranggapan ada hikmah di sebalik kekalahannya. - Foto Rosela Ismail

Nik Omar terima kekalahan dengan hati terbuka

KOTA BHARU: Calon baharu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Omar Nik Aziz, menerima kekalahannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semalam dengan hati terbuka.

Bapa kepada lima anak itu yang juga pengetua Madrasah Darul Anuar, berkata beliau beranggapan ada hikmah di sebalik kekalahannya kepada calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood.

"Saya tidak akan memikir perkara ini lagi termasuk sebab kekalahan saya tetapi apa yang ingin saya katakan di sini bahawa saya akan meneruskan sumbangan khidmat saya kepada PKR," katanya.

Nik Omar yang kehilangan wang deposit pada pilihan raya semalam, bagaimanapun bersyukur kerana beliau diberikan peluang oleh Allah untuk bertanding.

"Ini pengalaman berguna kepada saya. Mulai hari ini, dapatlah saya berehat seketika," katanya berseloroh.

Nik Omar kehilangan wang deposit selepas beliau mendapat 2,418 undi.

Kerusi DUN Chempaka dimenangi Ahmad Fathan yang mendapat 10,549 undi.

Calon lain yang bertanding di DUN Chempaka ialah Mohamad Fareez Noor Amran dari Barisan Nasional (BN) yang mendapat 7,075 undi.

Berita Harian X