Selasa, 8 Mei 2018 | 10:05pm
KETUA Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di Dewan Undangan Negeri Lama, Petra Jaya Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Masyarakat Cina jangan termakan sandiwara DAP

KUCHING: Masyarakat Cina diingatkan agar membuka mata dan tidak terus termakan dengan sandiwara politik DAP.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata parti itu masih gigih menabur janji semata-mata untuk mendapat sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, DAP ternyata gagal memastikan kebajikan masyarakat Cina terbela kerana lebih cenderung bermain politik.

"Kerajaan negeri pastikan masyarakat Cina di negeri ini terbela terutama yang membabitkan pendidikan.

"Kerajaan negeri akan terus membantu sistem pendidikan aliran Cina kerana pendidikan dekat dengan hati masyarakat Cina," katanya ketika berucap dalam majlis amanat Parlimen Stampin di Dataran MJC, Batu Kawah, di sini, malam ini.

Parlimen Stampin menyaksikan pertembungan antara Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Prof Datuk Dr Sim Kui Hian dengan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jein.

Abang Johari berkata, penting untuk masyarakat Cina memberi sokongan kepada calon SUPP.

"Sokongan padu perlu diberikan supaya suara masyarakat Cina di Parlimen lebih didengari," katanya.

Berita Harian X