Selasa, 8 Mei 2018 | 1:25am
TUN Dr Mahathir ketika berucap ketika ceramah Pakatan Harapan di kampung Bukit Malut, Langkawi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

PAS guna agama tipu rakyat - Tun M

LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad terus menyerang PAS dengan mendakwa parti itu menggunakan agama bagi menipu rakyat terutama penduduk di luar bandar.

Sambil mendakwa PAS menjadi punca perpecahan umat Islam, calon PKR Parlimen Langkawi itu berkata, waktu dahulu orang Melayu bersatu kerana berpegang pada mazhab Sunni dan Imam Shafie walaupun berbeza pendapat.

"Dulu orang Islam bersatu tapi sekarang berpecah sebab PAS mengatakan kalau bekerjasama dengan orang kafir, maka jadi kafir manakala kalau bekerjasama dengan PAS maka jadi Islam.

"Sebelum ini, PAS kata UMNO kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir iaitu MCA tapi kemudian mereka bekerjasama dengan DAP maka PAS sepatutnya kafirlah juga.

"Namun PAS kata bukan kerjasama tetapi Tahaluf Siyasi dan apabila guna bahasa Arab, kerjasama itu jadi halal. Ini bukan ajaran Islam. Malah PAS membawa agama baharu apabila menuduh jika tidak masuk PAS, jadilah kafir.

"Saya harap guru agama tidak mengajar murid mereka bahawa satu benda yang dipanggil dalam bahasa Arab maka ia menjadi Islam. Perlu ingat, orang Arab bukan semuanya Islam kerana ada yang beragama Kristian," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Umum bersama pakatan pembangkang di Kampung Bukit Malut di sini malam ini.

Yang turut hadir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Mahathir juga secara sinis menyifatkan mereka yang mengikut pemimpin PAS sebagai terpesong daripada ajaran agama.

"Adakah selepas ini hendak masuk Islam, seseorang itu perlu mengucap dua kalimah syahadah kemudian sebut saya ahli PAS, baru menjadi Islam.

"Saya ingin tanya kepada PAS. Umat Islam di seluruh dunia adalah sebanyak 1.7 bilion dan mereka tidak masuk PAS... adakah mereka ini kafir.

"Kalau ikut tafsiran PAS... orang tidak masuk PAS adalah kafir, maka 1.7 bilion orang Islam seluruh dunia adalah kafir. Kita kena ikut ajaran Islam yang berlandaskan al-Quran bukannya mengikut PAS," katanya.

Berita Harian X