Isnin, 7 Mei 2018 | 8:17pm
NAIB Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun bersama Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC), Datuk Eric See-To Choong di sidang media mengenai isu manipulasi sosial media yang lakukan oleh Pakatan Harapan (PH). - NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQ

Siasat manipulasi data lama sosial pembangkang

PETALING JAYA: Pihak berkuasa diminta menyiasat dakwaan pembelian 'penonton' oleh pembangkang bertujuan untuk memanipulasi data dalam siaran dan saluran media sosial.

Desakan itu dibuat Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun, yang menyifatkan tindakan sedemikian dilakukan pembangkang untuk mempengaruhi pemikiran rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), esok.

Beliau mengulas mengenai pendedahan ada parti pembangkang membeli 'penonton' untuk memanipulasi bilangan penonton Facebook (FB) Live ceramah mereka bertujuan membina persepsi bahawa mereka lebih popular dan menguasai media sosial, pada sidang media di Hotel One World di sini, semalam.

Pendedahan itu dibuat Felo Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, kelmarin. Ia bagi mewujudkan 'winning psyche' atau rasa menang.

Beliau juga dilaporkan berkata teknik itu dikesan apabila pautan FB Live program ceramah sebuah parti politik dikongsi menerusi tiga akaun FB berbeza yang dibuka secara berasingan, namun jumlah penontonnya sama seolah-olah ketiga-tiga FB itu ditonton secara serentak oleh penonton yang sama.

Mengulas lanjut, Khairul Azwan berkata siasatan pihaknya mendapati wujud kebarangkalian amat tinggi perkara itu dilakukan pembangkang dan mahu pihak berkuasa menyiasat manipulasi data.

"Tindakan memanipulasi data sering dilakukan khususnya di negara membangun, terutama ketika pilihan raya, di mana ada agensi yang boleh membuat pembelian penonton melalui FB.

"Di FB, bagi mendapatkan 200,000 penonton ia hanya membabitkan kos RM600,000 saja. Tindakan itu bertujuan mempengaruhi pemikiran rakyat apabila membuat keputusan untuk mengundi," katanya.

Khairul Azwan, berkata perkara itu bukanlah tuduhan, sebaliknya hanya mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan segera.

"Kita boleh lihat mainan data itu dilakukan dengan cara terbuka oleh pihak pembangkang. Di negara ini, pengundi mesti membuat keputusan berdasarkan apa yang mereka mahu serta kehendaki dan bukan dipengaruhi oleh taktik kotor yang dibuat oleh pembangkang," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Eric See-To Choong, berkata senarai harga untuk membeli 'likes' dan penonton boleh dilakukan oleh pihak pembangkang kerana mereka berkemampuan.

"Untuk mendapatkan sejuta penonton, harga yang perlu dibayar adalah RM3 juta, manakala 100 juta penonton hanya RM30 juta.

"Jumlah itu mungkin senang untuk mereka membayar terutama dengan pilihan raya yang semakin hampir," katanya.

Berita Harian X