Isnin, 7 Mei 2018 | 3:43pm
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein beramah mesra dengan orang ramai ketika hadir di Kampung Orang Asli Punjut, Kahang, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

`Tok Batin Besar' janji bela nasib Orang Asli Sembrong

KLUANG: Bidang pendidikan dan kemudahan asas di 10 perkampungan Orang Asli di Sembrong, di sini, akan terus dibangunkan.

Itu janji Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku Naib Presiden UMNO, atas pengiktirafan masyarakat Orang Asli terhadap usaha Barisan Nasional (BN) selama ini.

Malah, katanya, penghargaan diberikan komuniti itu sebagai kepuasan dan memberi nilai bermakna untuk beliau menawarkan diri bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Penting bagi saya untuk melihat pendidikan anak Orang Asli dibela, bukan sahaja dari segi infrastruktur dan tadika di sini, tetapi dapat menyediakan tenaga pengajar.

"Kita juga sudah menunaikan sebahagian besar kemudahan infrastruktur air dan elektrik, selain berharap interaksi bersama mereka dapat diteruskan," katanya pada sidang media di Kampung Orang Asli Punjut, Kahang, hari ini.

Hishammuddin berkata, usaha berterusan beliau mendekati masyarakat Orang Asli di 10 perkampungan Orang Asli di Sembrong menyebabkan beliau dekat di hati komuniti itu.

"Apa yang berlaku tidak bermusim (mendekati Orang Asli) dan ia tidak berkisar pada pilihan raya sahaja, sebab itulah 10 Tok Batin di Sembrong cukup rapat dengan saya hingga saya dipanggil 'Tok Batin Besar'.

"Saya lihat setakat hari ini, mereka (pembangkang) cuba mengintai di kawasan kita, lebih-lebih lagi di Kampung Orang Asli (Sembrong) tetapi tidak kesampaian," katanya.

Beliau berkata, semua Orang Asli sedar kesungguhan beliau membantu sedaya upaya menyelesaikan masalah mereka dan ada kalanya mengambil masa yang lama.

"Asal kita dekat dan bagi harapan, terus-terang masyarakat Orang Asli akan hargai jasa kita selama ini," katanya.

Sementara itu Tok Batin Berasau, Sari Achu berkata semua 10 perkampungan Orang Asli di Sembrong akan memberi sokongan dan komitmen baik kepada calon BN di kawasan terbabit.

Berita Harian X