Ahad, 6 Mei 2018 | 6:36pm
DARI kiri: Wan Iskandar, Wan Emir Astar dan Wan Imar mengiringi ibu mereka, Datin Mastura Yazid ketika berkempen dari rumah ke rumah di Bukit Chandan, di Kuala Kangsar. - Foto NSTP

Tiga Wan bantu Mastura di Parlimen Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR: Wan Emir Astar, Wan Imar dan Wan Iskandar tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Tetapi, mereka popular di Parlimen Kuala Kangsar sepanjang kempen pilihan raya ini.

Saban hari anak muda ini dilihat bersama calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Yazid yang juga ibu mereka.

Bapa mereka adalah Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Wan Ahmad, bekas Ahli Parlimen kawasan itu yang meninggal dunia dalam tragedi helikopter di Sarawak dua tahun lalu.

Kali ini Emir, Imar dan Iskandar membantu ibu mereka mempertahankan kerusi itu selepas menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan 6,969 undi majoriti pada 2016.

Mereka pernah melakukannya sebelum ini, tetapi kali ini lebih mencabar daripada PRK yang mendapat bantuan daripada pemimpin BN seluruh negara.

Wan Emir, anak sulung berusia 25 tahun memahami dia dan adik-adik perlu bekerja keras membantu ibu mereka.

Selain, mengiringi kempen, tiga beradik itu juga memberikan idea dan pandangan, terutama yang berkaitan isu orang muda dan pengundi baru.

"Kami faham, ibu meneruskan perjuangan papa dan kami mahu membantu mencapai matlamat itu," katanya.

Mastura mengakui ini cabaran baharu kerana pada PRK beliau tidak keluar berkempen kerana masih dalam iddah kematian suami.

Ketika itu pihak lain yang berkempen untuknya.

"Saya menyedarinya dan kali ini amat berbeza dan perlu gigih untuk memenangi hati pengundi," katanya yang yakin pengundi sudah menilai prestasi kerja sepanjang menjadi Ahli Parlimen di di Bandar Diraja Perak ini.

Parlimen Kuala Kangsar yang popular dengan hasil seni labu sayong dan rekreasi tepian Sungai Perak mempunyai dua DUN - Bukit Chandan dan Manong.

Kawasan ini mempunyai 33,540 pengundi dengan 68 peratus Melayu, 24 peratus Cina, tujuh peratus India dan bakinya kaum lain.

Dalam pilihan raya 9 Mei ini, pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang itu berhadapan calon PKR, Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah.

Mastura berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak yang bukan sahaja memilihnya, malah memberikan pelbagai bantuan, khususnya melaksanaka janji PRK dahulu.

Jambatan Manong sudah dimulakan, begitu juga pembinaan masjid baharu di Kampung Sayong Lembah.

Kempennya menggunakan tag line atau slogan 'demi cinta sebuah perjuangan' yang dipaparkan pada poster dan kain pemidang sekitar Kuala Kangsar serta media sosial beliau.

Ketika ditanya, Mastura berkata ia bagi menunjukkan kecintaan bukan sahaja kepada arwah suami, malah perjuangan dalam politik untuk Kuala Kangsar.

"Saya bersamanya dari awal karier politik beliau. Saya tahu perjuangan beliau untuk rakyat di sini.

"Demi cinta, saya teruskan perjuangan beliau yang kini menjadi perjuangan saya untuk penduduk Kuala Kangsar," katanya.

Misi utama Mastura jika dipilih adalah meneruskan usaha dalam bidang pelancongan, pertanian dan pendidikan untuk penduduk Kuala Kangsar.

64 dibaca
Berita Harian X