Ahad, 6 Mei 2018 | 3:26pm
DATUK Peter Minos. - Foto NSTP

Takut 'dihukum' rakyat, Chieng Jen pindah ke Parlimen Stampin

KUCHING: Tindakan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, beralih arah untuk bertanding di Parlimen Stampin, dilakukan kerana takut 'dihukum' pengundi Parlimen Bandar Kuching, kawasan disandangnya selama tiga penggal.

Penganalisis politik, Datuk Peter Minos, berkata Chieng Jen membazirkan 15 tahun harapan pengundi di Parlimen Bandar Kuching dan tidak melaksanakan pembaharuan serta pembangunan di kawasan itu sejak sekian lama.

"Selama 15 tahun, beliau tidak menyumbangkan idea baik atau positif untuk membantu rakyat, kecuali mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) dan memutar-belitkan fakta dalam isu tertentu.

"Itulah pembangkang di Malaysia yang tipikal, oleh sebab itu mereka tidak dapat menjatuhkan BN," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Peter berkata, DAP sebenarnya perlu mengamalkan demokrasi secara bertanggungjawab serta matang.

"Saya mengagumi pembangkang di London (United Kingdom), bukannya menyerang kerajaan hari ini, mereka akan mencadangkan idea bagaimana mengubah ekonomi untuk kebaikan rakyat.

"Sebelum anda mengkritik seseorang (BN), pastikan anda mempunyai rancangan atau dasar yang lebih baik," katanya.

Chieng Jen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa bertanding di Parlimen Stampin menentang calon BN yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Chieng Jen sebelum ini penyandang kerusi Parlimen Bandar Kuching selama tiga penggal dengan menang majoriti 2,041 undi pada PRU-11; menang majoriti 9,952 undi (PRU-12) dan menang majoriti 19,642 undi (PRU-13).

Sementara itu, Minos menyangkal kekuatan pakatan pembangkang di Sarawak untuk menumbangkan BN negeri.

"Rakyat Sarawak berpadu sokongan kepada BN Sarawak kerana parti berkenaan komited memperjuangkan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Fadzil Abd Rahman, berkata BN di Sabah masih kuat, namun kebangkitan sentimen 'Sabah untuk Orang Sabah' menjadikan senario politik di negeri terbabit semakin mencabar.

Berita Harian X