Sabtu, 5 Mei 2018 | 12:59pm
ANGGOTA polis dari kiri; Nor Absah Yusuf, Murni Syahirah Mohamad, Mariani Abdullah dan Azura Yusoff menunjukkan jari yang dicelup dengan dakwat biru selepas selesai mengundi di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Anggota PDRM, pesara mengundi awal di Selangor

SHAH ALAM: Seramai 17,852 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berdaftar sebagai pengundi awal dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menunaikan tanggungjawab seawal jam 8 pagi tadi di Dewan Utama Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dan di lokasi lain di seluruh negeri ini.

Proses pengundian pos PDRM itu turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor yang tiba di dewan itu pada jam 9 pagi untuk mengundi.

Mazlan berkata, beliau menjangkakan 100 peratus pegawai dan anggotanya akan mengundi di pusat pengundian di dewan berkenaan.

"Daripada jumlah itu, seramai 2,070 pegawai dan anggota akan mengundi awal bagi kerusi Parlimen P 108 Shah Alam bagi pegawai dan anggota yang bertugas di lbu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

"Selain itu, turut terbabit dalam proses undi awal pada hari ini adalah 603 orang pegawai dan anggota PDRM yang sudah bersara. Mereka ini adalah pegawai dan anggota yang belum menukar daftar pemilih sebagai pengundi biasa," katanya.

Beliau berkata, pegawai dan anggota yang terbabit dalam pengundian awal ini mula mengundi pada jam 8 pagi hingga jam 5 petang.

"Setakat jam 9 pagi, semuanya berjalan lancar dengan enam peratus pegawai dan juga anggota keluar mengundi," katanya.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, seramai 614 pegawai dan anggota PDRM juga terbabit dalam proses mengundi secara pos membabitkan pegawai dan anggota di IPK Selangor dan selebihnya di daerah-daerah, semalam.

Sementara itu, Mazlan berkata sejak 28 April hingga 4 Mei (semalam) sebanyak 103 laporan polis sudah diterima membabitkan PRU-14, dan kebanyakannya membabitkan kes khianat.

"Pihak polis menasihatkan mereka yang terbabit untuk berkempen secara tertib dan tidak keterlaluan sepanjang tempoh berkempen berlangsung.

"Mana-mana individu atau kumpulan penyokong dinasihatkan agar tidak melakukan provokasi dengan mencabut, merosakkan dan membakar mana-mana poster, 'banner' dan kain rentang parti politik.

"la adalah satu kesalahan yang menyalahi undang-undang dan jika didapati bersalah, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga (2) tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pihaknya turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dan mempercayai sumber-sumber maklumat yang tidak sahih sebaliknya mendapatkan maklumat yang berasaskan fakta dan sumber yang disarankan.

Berita Harian X