Sabtu, 5 Mei 2018 | 12:53pm
KETUA Polis Negeri Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan (kanan) memeriksa sambil memberi taklimat kepada anggota polis yang bertugas di hadapan pintu masuk Rumah Media sempena Hari Penamaan Calon Parlimen Hang Tuah Jaya P137 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC), Ayer Keroh 28 April lalu. - Foto Khairunisah Lokman

7 'kawasan panas' PRU-14 terkawal - KP Melaka

MELAKA: Tujuh 'kawasan panas' di negeri ini yang dikenal pasti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) masih dalam keadaan terkawal, kata Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dengan suasana terus aman dan lancar membabitkan semua parti bertanding selepas tempoh berkempen yang memasuki hari kelapan.

"Sehingga hari ini, sebanyak 31 laporan diterima pihak polis dan tujuh daripadanya sudah dibuka kertas siasatan untuk tindakan lanjut.

"Sementara, 24 laporan lagi dirujuk kepada agensi lain untuk tindakan susulan. Antara laporan diterima membabitkan insiden menurunkan poster dan bendera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pembuangan undi awal di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Turut hadir membuang undi awal, bekas Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ruslan Hassan yang kini Timbalan Pengarah Jenayah Sindiket Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata, seramai 2,909 pegawai dan anggota berdaftar di IPK Melaka mengundi awal sempena PRU-14.

"Untuk hari ini sebanyak 25 pusat mengundi dibuka antaranya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis di tiga daerah di negeri ini," katanya.

Terdahulu, hadir sama ke pusat pengundian awal bertemu pengundi adalah calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, Tan Sri Ali Mohd Ali Rustam dan calon PAS, Datuk Dr Md Khalid Kassim.

Berita Harian X