Jumaat, 4 Mei 2018 | 3:40pm
PENGARAH Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir (kiri) dan Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor, Mohsinon Tahir pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Selangor. - Foto Faiz Anuar

'Nik Omar terpengaruh hasutan PAN, DAP'

SHAH ALAM: Tindakan Nik Omar Nik Abdul Aziz keluar PAS menyertai pakatan pembangkang mungkin kerana terpengaruh dengan hasutan pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, mendakwa DAP sentiasa berusaha untuk melemahkan serta memecah-belahkan kuasa politik Islam, malah parti cauvenis itu menjadi 'watak' utama di sebalik kewujudan PAN.

"Sejarah lampau membuktikan siapa DAP yang selalu bersikap anti-Islam. Sejak dahulu lagi DAP sakit hati dengan PAS dan ia semakin memuncak dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini apabila semakin ramai masyarakat Cina mula tertarik dengan perjuangan PAS serta pemimpinnya yang bebas rasuah.

"Sebelum ini, DAP berjaya mempengaruhi sekelompok pemimpin PAS untuk keluar parti membentuk PAN. Sekarang ini, DAP melalui PAN cuba mempengaruhi Nik Omar dan dia berjaya melakukannya," katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Selangor, di sini, hari ini.

Mengenai kehadiran anak Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat itu ke beberapa lokasi di Selangor bagi membantu kempen calon pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Roslan berkata, ia membuktikan dakwaan DAP berada di belakang calon PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka itu, adalah benar.

"Pelik apabila seorang calon yang hanya bertanding peringkat DUN di Kelantan dan tiada apa-apa jawatan di peringkat negeri atau pusat datang ke Selangor berkempen.

"Untuk siapa Nik Omar berkempen di Selangor? Berkempen untuk PAN atau DAP?

"Percayalah, akan tiba masanya nanti Nik Omar menyesal dengan apa yang dilakukan ini. Ramai yang terkejut dan sedih dengan tindakannya, termasuklah ibunya sendiri," katanya.

Semalam, Nik Omar ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program anjuran PKR di Seksyen 8, Shah Alam, enggan memberi kata putus sama ada beliau akan meneruskan agenda hudud selepas meninggalkan PAS dan menyertai pakatan pembangkang.

Beliau sebaliknya berkata, agenda hudud yang diperjuangkan arwah bapanya sejak 20 tahun lalu hanya akan dilihat semula selepas PRU-14.

Allahyarham Nik Abdul Aziz konsisten memperjuangkan hudud sepanjang bersama PAS.

Sebelum ini, PAS menghentikan kerjasama politik atau tahaluf siyasi bersama DAP disebabkan tindakan DAP yang tidak menghormati dasar perjuangan PAS.

DAP agresif menentang hudud, termasuk membantah sebahagian agenda Islam yang diperjuangkan PAS seperti usul meminda Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

21 dibaca
Berita Harian X