Jumaat, 4 Mei 2018 | 3:22pm
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendukung adik Nor Dayana Mohd Khairul Azwan, 5, dari tadika KEMAS Sri Jeram A dengan diperhati ibunya, Noraini Ismail, 36, selepas merasmikan Karnival KEMAS 4U Parlimen Pasir Puteh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram. - Foto Syamsi Suhaimi

PAS tak wajar tuduh Nik Omar - Asyraf Wajdi

PASIR PUTEH: PAS tidak boleh membuat pelbagai tuduhan terhadap Nik Omar Nik Abdul Aziz hanya disebabkan berbeza parti politik, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, pelbagai tuduhan dilemparkan PAS kepada anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dianggap tidak wajar sama sekali dan dilakukan selepas Nik Omar memilih menentang calon PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

"Saya simpati dengan Nik Omar. Walaupun kita berbeza parti politik tetapi kita tidak boleh membuat pelbagai tuduhan kepada dia.

"Tidak wajar parti (pembangkang) yang sentiasa meletakkan imej Islam di hadapan tetapi mereka membuat tuduhan kepada sesama Islam," katanya selepas Karnival KEMAS4U, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram, di sini, hari ini.

Turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gaal, Datuk Dr Mohd Kaisan Ab Rahman.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas konflik dua anak Allahyarham Nik Abdul iaitu Nik Abduh dan Nik Omar sehingga ada penyokong PAS yang menggelar Nik Omar sebagai murtad kerana menentang calon PAS.

Asyraf Wajdi yang juga calon BN Parlimen Pasir Puteh berkata, sebagai calon pada PRU-14 ini, PAS perlu melakukan perkara yang mencerminkan agama Islam.

"Kita (calon) membawa imej Islam dan parti sebagai wadah untuk rakyat memilih pemimpin.

"Agama perlu diletakkan di hadapan kerana jika seseorang mahu masuk Islam perlu mengucap dua kalimah syahadah," katanya.

Berita Harian X