Khamis, 3 Mei 2018 | 8:13pm

Esok keputusan kes Tian Chua saman SPR

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan mengumumkan keputusannya esok berhubung bantahan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap saman pemula (OS) difailkan Naib Presiden PKR, Tian Chua, kerana tidak membenarkan pencalonannya bertanding kerusi Parlimen Batu bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Hakim Datuk Nordin Hasan menetapkan keputusannya hari ini, selepas mendengar hujah kedua-dua pihak , hari ini.

Isnin lalu, Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 55, memfailkan saman pemula dengan menamakan SPR dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Anwar Mohd Zain, 56, sebagai responden pertama dan kedua.

Ketika prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh, berhujah yang Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa mendengar pertikaian berhubung keputusan Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang menolak penamaan calon Chua itu.

"Tindakan Hakim Mahkamah Tinggi mendengar dan memutuskan permohonan ini bertentangan dengan Artikel 118 Perlembagaan Persekutuan yang mengetepikan Mahkamah Tinggi dalam memutuskan hal berkaitan pilihan raya.

"Undang-undang berkaitan pilihan raya jelas menunjukkan satu-satunya cara untuk mempertikaikan mengenai penolakan kertas penamaan calon adalah melalui petisyen pilihan raya," katanya.

Amarjeet berkata, permohonan Tian Chua itu adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Sementara itu, Datuk Gurdial Singh Nijar, yang mewakili Tian Chua, dalam hujahnya mendakwa mereka menuntut perisytiharan berhubung status sebagai calon dan hak untuk bertanding.

Menurutnya, isu petisyen pilihan raya yang dibangkitkan oleh SPR adalah tidak relevan dan disebabkan itu mereka memulakan tindakan dengan mengemukakan saman pemula.

Menerusi saman itu, Chua memohon deklarasi bahawa beliau layak dan berhak bertanding sebagai calon kerusi Parlimen Batu pada PRU-14 ini.

Berdasarkan writ saman, bekas penyandang Parlimen Batu itu memohon deklarasi bahawa beliau layak sebagai calon kerusi Parlimen di PRU-14 mengikut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan dan di sisi undang-undang.

Tian Chua juga memohon deklarasi bahawa beliau berhak untuk bertanding dan diterima sebagai calon oleh responden.

Beliau mendakwa, berdasarkan undang-undang yang termaktub, hukuman denda RM2,000 tidak akan menjejaskan hak atau menghilangkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.

Menurutnya, pada PRU-13, dokumen penamaan calonnya diterima dan dibenarkan bertanding walaupun ketika itu beliau ada hukuman denda RM2,000.

Sejak PRU-13 sehingga 7 April lalu, Tian Chua bertugas sebagai Ahli Parlimen, Speaker Dewan Rakyat dan tiada pihak membangkitkan isu, menafikan atau mencabar statusnya itu.

Tian Chua gagal untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu P115 apabila SPR mendapati beliau hilang kelayakan bertanding kerana dihukum denda RM2,000 atas kesalahan menghina polis.

Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua berkata pada 28 April lalu, beliau bersama pencadang Badaruddin Ismail dan penyokong Jacob Isaiah hadir di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama pada jam 9 pagi untuk menyerahkan borang penamaan calon bagi Parlimen Batu.

Pada jam 10.30 pagi, responden pertama memberitahu bahawa penamaan beliau ditolak atas alasan sudah dihukum denda RM2,000 dalam satu kes di Mahkamah Shah Alam.

Tian Chua membantah keputusan itu dan memaklumkan bahawa mahkamah sudah mengisytiharkan beliau tetap layak untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen.

Beliau mendakwa keputusan responden menolak penamaan dirinya sebagai calon Parlimen Batu adalah mala fide (berniat jahat), salah di sisi undang-undang dan bertentangan Perlembagaan.

Tian Chua mendakwa dia disabitkan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan dihukum denda RM3,000 di Mahkamah Sesyen Jenayah Shah Alam dan beliau merayu terhadap keseluruhan penghakiman.

Pada 2 Mac 2018, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan denda itu dikurangkan kepada RM2,000.

Beliau mendakwa tiada rayuan dibuat atas hukuman itu, kerana percaya bahawa keputusan itu tidak akan menjejaskan status dan kelayakannya.

Naib Presiden PKR dan juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menjawab soalan media selepas memfailkan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memohon deklarasi bahawa beliau layak dan berhak bertanding sebagai calon kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X