Khamis, 3 Mei 2018 | 7:47pm
USTAZ Nik Omar Nik Abdul Aziz (dua kanan) berucap pada majlis Grand Hi Tea, turut hadir calon PKR P108 Shah Alam, Khalid Abdul Samad (kanan) dan calon PKR N41 Batu Tiga, Rodziah Ismail (kiri) serta calon PKR N40 Kota Anggerik, Mohd Najwan Hilmi (dua kiri) di Seksyen 8, Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Nik Omar enggan ulas agenda hudud

SHAH ALAM: Calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz, enggan memberi kata putus sama ada beliau akan meneruskan agenda hudud selepas meninggalkan PAS dan menyertai pakatan pembangkang.

Beliau berkata, agenda hudud yang diperjuangkan arwah bapanya sejak 20 tahun lalu hanya akan dilihat semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Kita tengok selepas ini (PRU-14) macam mana, kita tengok," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program anjuran PKR Shah Alam, di sini, hari ini.

Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat konsisten memperjuangkan hudud sepanjang bersama PAS.

Sebelum ini, PAS menghentikan kerjasama politik atau tahaluf siyasi PAS bersama DAP disebabkan tindakan DAP yang tidak menghormati dasar perjuangan PAS.

DAP agresif menentang hudud, termasuk membantah sebahagian agenda Islam yang diperjuangkan PAS seperti usul meminda Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355 ).

Dalam pada itu, Nik Omar berkata, tidak timbul parti mana mendokong perjuangan Islam kerana PRU-14 adalah peluang kepada rakyat memilih parti mana yang mampu membawa negara ke arah lebih baik.

"PRU ni bukan tempat kita pilih untuk masuk agama apa, sebaliknya memilih pasukan (parti) mana yang kita yakin. Kalau tanya saya, saya yakin pada pakatan," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan seorang hadirin sama ada ibunya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, merestui keputusan keluar PAS, Nik Omar berkata, isu itu tidak perlu timbul kerana beliau bukan melakukan perkara jahat.

"Tiada anak yang tidak sayangkan mak, tiada mak yang tidak sayangkan anak. Sedangkan anak yang hisap dadah pun mak maafkan.

"Sebagaimana saya doakan kejayaan adik saya (calon PAS Parlimen Bachok, Nik Abduh), saya doakan kejayaan sepupu saya (calon PAS DUN Kota Anggerik, Ahmad Dusuki Abdul Rani) dan calon PKR DUN Kota Anggerik (Najwan Halimi)," katanya.

61 dibaca
Berita Harian X