Khamis, 3 Mei 2018 | 3:32pm
CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman. - Foto Fathil Asri

PAS Pengkalan Chepa makin celaru

KOTA BHARU: PAS Pengkalan Chepa dilihat semakin bercelaru apabila Nik Omar Nik Abd Aziz bertanding atas tiket PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman, berkata situasi itu adalah bonus kepada BN untuk mentadbir Kelantan.

"Kini, PAS makin celaru apabila Nik Omar bertanding atas tiket pakatan pembangkang sedangkan adiknya, Nik Abduh, bersama PAS.

"Kedua-duanya anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz ini mempunyai berlainan fahaman dalam memperjuangkan PAS

"Saya melihat ini kelebihan kepada BN Parlimen Chepa untuk memenangi kerusi itu," katanya selepas melawat keluarga warga emas yang meninggal dunia akibat sakit tua, di Kampung Anak Sungai, dekat sini, malam tadi.

Beliau berkata, ini adalah masa yang sesuai untuk penyokong tegar PAS membuat perubahan dengan menyokong BN.

"Kini, kita dapat lihat perubahan ketara dalam kalangan pengundi khasnya di Pengkalan Chepa yang mula beralih angin dengan menyokong UMNO.

"Gerakan jentera kita juga dilihat semakin bersemangat untuk memastikan BN menang di sini ,"katanya.

Berita Harian X