Rabu, 2 Mei 2018 | 5:50pm
NIK Omar Nik Aziz bertanding atas tiket PKR, di DUN Chempaka. - Foto Fathil Asri

Pengundi Chempaka tolak Nik Omar

KOTA BHARU: Orang ramai termasuk pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka tidak bersetuju Nik Omar Nik Aziz bertanding atas tiket PKR.

Mereka berpendapat sebagai anak bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Nik Omar tidak sepatutnya bertanding atas tiket parti lain selain PAS.

Seorang peniaga, Safiin Mohamed, 67, berkata sebagai penduduk dan juga pengundi DUN berkenaan, dia tidak bersetuju kerana Nik Omar menjadi calon PKR.

"Sebagai anak kepada Tok Guru Nik Aziz, dia sepatutnya menyambung legasi yang dipimpin bapanya.

"Jadi kita di sini tidak bersetuju dengan tindakannya bertanding atas tiket PKR," katanya ketika ditemui di Kampung Pauh, di sini, hari ini.

Penghulu Kampung Che Deris, Mohd Razali Isa, 48, berkata pertembungan Nik Omar bersama Barisan Nasional (BN) dan PAS agak sukar diterima penduduk apabila beliau bertanding atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

"Lagipun mungkin orang ramai sudah mengetahui latar belakang Nik Omar sebelum ini. Bagi penduduk di DUN Chempaka, orang ramai tidak bersetuju, tetapi di kawasan lain saya tidak tahu," katanya.

Katanya, untuk menjadi calon juga perlu mempunyai kredibiliti tertentu bagi 'menarik' kepercayaan orang ramai.

22 dibaca
Berita Harian X