Selasa, 1 Mei 2018 | 10:46pm

Perang saraf pembangkang bermula

SEREMBAN: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan tindakan memfitnah oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai permulaan perang saraf oleh pihak pembangkang.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rembau itu berkata, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, pembangkang turut membuat fitnah mengenai kononnya terdapat sehingga 40,000 warga Bangladesh akan menjadi pengundi BN.

"Tetapi akhirnya tiada bukti dan hanya menimbulkan kemarahan rakyat sehingga menyebabkan undi BN terjejas.

"Ini pula permulaannya apabila Datuk Seri Mohamad Hasan (calon DUN Rantau) dan Khairy Jamaluddin kononnya perlu bertanggungjawab atas calon PKR, Dr S Streram yang tidak dapat menghantar borang penamaan calon bagi DUN Rantau.

"Ini jelas boleh menimbulkan kemarahan rakyat dan saya percaya banyak lagi yang pembangkang akan cuba (fitnah) kerana ini yang pertama," katanya selepas program mengacau dodol di Bilik Gerakan Kampung Stesyen di Rantau di sini, hari ini.

Khairy Jamaluddin berkata, mengenai tindakan Rafizi yang meminta Dr Streram merempuh polis selepas tidak dibenarkan menghantar borang pencalonan kerana tiada pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), katanya, tindakan itu hanya untuk meraih simpati.

Ini kerana katanya, Rafizi sendiri mengakui dia yang meminta Dr Streram berbuat demikian menerusi perbualan telefon yang dibuat calon itu kepadanya, sebelum pusat penamaan calon ditutup.

"Tetapi saya tidak terperanjat sekiranya selepas ini dia (Rafizi) merancang sesuatu daripada insiden yang berlaku di Rantau," katanya.

Sabtu lalu, penyandang DUN Rantau, Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan secara rasmi menang tanpa bertanding apabila Dr Streram gagal menghantar borang penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau di Rembau.

Berikutan itu, Rafizi menuduh Khairy Jamaluddin bersekongkol dengan Mohamad atas tindakan SPR yang menghalang Dr Streram daripada memasuki pusat berkenaan kerana tiada pas SPR.

520 dibaca
CALON Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersama Jentera Barisan Nasional mengacau dodol pada Program Mengacau Dodol bersama jentera BN kampung Stesyen di Rantau, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad
MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang juga Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rembau beramah mesra bersama Amalorpam Arukiasami, ketika melawat Kampung Ladang Sagga sempena Kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang juga Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rembau pada lawatan Kampung Ladang Sagga sempena Kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X