Ahad, 29 April 2018 | 5:28pm
CALON PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (dua kanan) bertanding kerusi Parlimen Bachok mengetuai calon DUN PAS menuju ke Pusat Penamaan Calon (PPC) Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok. - Foto Nor Amalina Alias

Keluarga terkejut tindakan Nik Omar

BACHOK: Nik Abduh Nik Aziz masih belum berbincang dengan keluarga mengenai tindakan abangnya, Nik Omar, yang bertanding atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Nik Abduh berkata, beliau masih memerlukan sedikit masa sebelum mengulas tindakan abang keduanya yang memecah tradisi keluarga yang memperjuangkan PAS selama ini.

Katanya, tindakan mengejutkan itu masih belum boleh diterima ahli keluarga dan beliau pula mempunyai masa yang terhad untuk berbincang perkara itu dengan ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, kerana perlu berkempen di Bachok.

"Perkara ini perlu dibincangkan terlebih dahulu bersama keluarga kerana saya sendiri tak tahu status sebenar isu ini," katanya ketika ditemui di Masjid Mukim Nipah, di sini, hari ini.

 

Nik Abduh yang juga bekas penyandang Parlimen Pasir Mas berdepan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan calon PKR, Zulkifli Zakaria dari parti PKR bagi merebut kerusi Parlimen Bachok.

Beliau berkata, keluarganya perlu diberikan ruang sebelum memberi reaksi mengenai tindakan Nik Omar itu.

Nik Omar yang juga Pengetua Madrasah Darul Anuar Pulau Melaka pertama kali bertanding dalam PRU dan memilih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Pengkalan Chepa.

61 dibaca
Berita Harian X