Sabtu, 28 April 2018 | 4:21pm
CALON BN Parlimen Stampin, Datuk Dr Sim Kui Hian, ditemani Ibunya serta Isteri dan Penyokong merakam kenangan sebelum masuk ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Majlis Perbandaran Padawan, hari ini. - Foto Nadim Bokhari
PENYOKONG Barisan Nasional (BN) Norkiah Ahmad, 50, (kanan) tidak dapat menahan sebak sewaktu bersalaman dengan calon BN Parlimen Stampin Datuk Dr Sim Kui Hian (kiri) yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di Pusat Penamaan Calon di Dewan Majlis Perbandaran Padawan hari ini. - Foto BERNAMA

DAP diingat tak main `politik kotor' di Stampin

PADAWAN: DAP diingatkan tidak bermain `politik kotor'susulan meningkatnya sokongan akar umbi ke atas Barisan Nasional (BN) khususnya penduduk di Parlimen Stampin.

Presiden Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian yang juga calon BN bagi kerusi berkenaan turut mengingatkan parti pembangkang terbabit bertanding secara bersih dan budiman.

"Tersebar dakwaan kononnya kita (BN) memberikan sejumlah wang kepada pengundi dalam setiap pilihan raya. Kita percaya taktik sama digunakan kali ini kerana pembangkang sudah kering idea untuk menghentam BN, seterusnya menggunakan pendekatan fitnah bagi meraih sokongan.

"Itu fitnah kerana pastinya saya tidak memiliki begitu banyak wang untuk diberikan kepada pengundi... itu bukan cara kita (BN)," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding di Parlimen Stampin di Dewan Majlis Perbandaran Padawan, di sini hari ini.

Kui Hian yang berjaya merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawa pada pilihan raya negeri lalu, berdepan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan negeri di Parlimen Stampin dalam pilihan raya kali ini.

Ia disifatkan sebagai pertembungan `dua singa' dan `buku bertemu ruas', sekali gus menjadikan Parlimen Stampin antara kerusi tumpuan atau kerusi panas di Sarawak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Malah, Chieng Jen sanggup melepaskan kerusi Parlimen Bandar Kuching yang juga kubu kuatnya kepada calon baharu DAP, seterusnya berpindah ke Parlimen Stampin semata-mata mahu `memburu' Kui Hian.

Kui Hian ketika mengulas lanjut tidak menafikan kemungkinan wujud cubaan menyogok pengundi oleh pakatan pembangkang, namun menyebarkan dakwaan perbuatan itu dilakukan oleh BN untuk mengaburi kegiatan berkenaan.

"Hakikatnya, taktik kotor digunakan pembangkang, terutama dalam menabur pelbagai fitnah dan dakwaan tidak berasas sudah tidak lagi relevan kerana pengundi kita sudah bijak menilai dan membuat pilihan mereka.

"Kita tidak terkejut jika mereka terus menggunakan helah berkenaan untuk meraih undi simpati. Namun kita yakin pengundi di Parlimen Stampin cukup matang membuat keputusan masing-masing," katanya.

Kui Hian yang juga pakar kardiologi, berkata sokongan diterima BN, khususnya SUPP hingga mampu merampas kembali DUN Batu Kawa dan Baty Kitang dari tangan pembangkang dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 adalah hasil kerja keras parti mendekati rakyat dan menyelesaikan pemasalahan setempat.

Berita Harian X