Sabtu, 28 April 2018 | 3:30pm
CALON BN Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz (dua dari kiri), calon BN DUN Ayer Hitam, Datuk Abu Hassan Sarif (tiga dari kiri) dan calon BN DUN Kota Siputeh, Ahmad Azhar Abdullah (dua dari kanan) diiringi penyokong ketika tiba di pusat penamaan calon PRU-14, Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu. - Foto Amran Hamid

Saya tetap profesional lawan Mukhriz - Othman Aziz

JERLUN: Kerusi Parlimen Jerlun yang disifatkan sebagai kerusi panas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal menyaksikan pertemuan dua rakan baik dalam UMNO, iaitu Datuk Othman Aziz yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang bertanding atas tiket PKR selain Abd Ghani Ahmad yang mewakili PAS.

Walaupun berlaku pertembungan dengan Mukhriz, Othman berkata beliau tetap akan bersikap profesional sepanjang tempoh 11 hari berkempen dan akan cuba sedaya upaya mengelak sebarang insiden pergaduhan membabitkan beliau sendiri dan Mukhriz, yang ketika ini adalah penyandang kerusi DUN Ayer Hitam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Penamaan Calon di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di sini, hari ini.

Terdahulu, Mukhriz berkata walaupun akan berdepan dengan sahabat-sahabat lama di Jerlun, beliau mahu agar suhu politik sepanjang berkempen berada dalam keadaan yang baik memandangkan beliau juga akan bertemu seorang lagi rakannya di DUN Jitra, Datuk Aminuddin Omar.

Penamaan calon hari ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan kerusi Parlimen Jerlun, DUN Kota Siputeh dan DUN Ayer Hitam. - BERNAMA

Berita Harian X