Sabtu, 28 April 2018 | 2:51pm
NIK Omar Nik Aziz. - Foto Fathil Asri

PAS pecat Nik Omar

KOTA BHARU: PAS pecat serta-merta Nik Omar Nik Aziz yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka atas tiket PKR, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu diambil selepas mengadakan perbincangan dengan kepemimpinan PAS termasuk Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, tindakan Nik Omar bertanding atas tiket PKR dianggap bertentangan dengan perlembagaan parti dan perjuangan bapanya Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

"Kita mengambil keputusan memecat Nik Omar serta-merta sebaik saja dia bertanding dengan parti lain. Malah, tindakan menyertai pakatan pembangkang diketuai DAP itu tidak boleh diterima selain dianggap memalukan keluarganya sendiri.

"Kita tidak memalukan Nik Omar sebaliknya beliau sendiri memalukan diri dan keluarganya. Nik Omar membuat perkara yang menghina pegangan politik dipegang ahli keluarganya sendiri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada masa sama, Takiyuddin berkata, tindakan Nik Omar berkenaan bukan sesuatu mengejutkan kerana sebelum ini sudah ada khabar angin bahawa anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan itu akan berbuat demikian.

"Namun, PAS tidak terjejas sama sekali walaupun Nik Omar bertanding atas tiket PKR kerana dalam parti, beliau (Nik Omar) bukan sesiapa sebaliknya ahli biasa," katanya.

Terdahulu, Nik Omar mengejutkan ramai apabila tampil di pusat penamaan calon di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) di Pengkalan Chepa utuk bertanding di DUN Chempaka.

Nik Omar akan menentang penyandang calon PAS, Mohamad Fathan Mahmood dan Mohamad Fareez Noor Amran iaitu dari Barisan Nasional (BN).

43 dibaca
Berita Harian X