Rabu, 25 April 2018 | 8:47pm

Keputusan Kayveas letak jawatan tidak jejas komponen BN - Subramaniam

IPOH: Sama ada disingkirkan atau meletakkan jawatan, ia tidak akan memberi sebarang kesan kepada parti lain dalam Barisan Nasional (BN).

Itu reaksi Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam ketika diminta mengulas mengenai kesan tindakan Tan Sri M Kayveas yang dipecat sebagai Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) dan Pengerusi MyPPP Wilayah Persekutuan.

Katanya, berdasarkan apa yang diketahuinya dan dilaporkan parti yang memecat Kayveas.

"Jadi kalau itu betul, (masalah itu) isu dalaman parti mereka.

"Dari aspek ada kesan kepada BN, (sebenarnya) tidak berapa memberi kesan, mungkin dalam kalangan anggota parti mereka ada satu kumpulan yang tidak puas hati, itu pun isu persendirian," katanya kepada media selepas melawat Bilik Gerakan BN Buntong di Kampung Kacang Putih di sini, hari ini.

Turut hadir, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong, T Thangarani.

Dr Subramaniam berkata, MyPPP kekal, cuma parti berkenaan membuat keputusan untuk memecat presidennya.

"Jadi kita patut melihat perkara sama ada keputusan ini akan memberi kesan kepada MyPPP dan pergerakan MyPPP, tetapi saya ingat tiada apa-apa isu yang akan timbul secara keseluruhannya (kepada BN).

"Contoh kalau kawasan MyPPP ada pengaruh masyarakat India, tempat itu boleh diisi oleh MIC untuk (mengekalkan) pengaruh masyarakat India yang ada di situ. Kita boleh bantu dalam proses itu," katanya.

Hari ini, Majlis Tertinggi MyPPP tampil menjelaskan Kayveas sebenarnya dipecat sebagai presiden berikutan tindakannya menyalahgunakan parti untuk agenda peribadi.

Penjelasan itu dibuat bagi menjawab kenyataan Kayveas yang meletakkan jawatannya sebagai presiden MyPPP dan beberapa jawatan lain.

Tampil menjelaskan hal itu, Timbalan Naib Setiausaha Agung MyPPP, Datuk Simon Sabapathy berkata, kepemimpinan tertinggi sudah bertindak memecat Kayveas terlebih dahulu sebelum Kayveas memutuskan untuk meletak jawatannya sebagai presiden parti.

Bagaimanapun, Simon mengesahkan ada menerima surat peletakan jawatan oleh Kayveas hari ini.

Mengenai rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli MyPPP yang gagal mendapat sebarang kerusi, Dr Subramaniam berkata, beliau akan memanggil pihak berkenaan untuk bekerjasama dan memberi semangat kepada BN.

"Kami akan memanggil orang itu untuk datang bekerja (bantu jentera pilihan raya) dan memberi sokongan demi BN.

"Saya sudah beritahu Ketua MIC Bahagian Ipoh Barat, Tan Sri G Rajoo dan Thangarani untuk membantu ahli MyPPP lain untuk memberi kerjasama," katanya.

Menurutnya, MIC tidak menentang MyPPP untuk mendapatkan sebarang kerusi dan berharap parti itu turut diberikan kerusi untuk bertanding.

Bagaimanapun, ia adalah proses rundingan yang mana keputusan dapat dibuat awal dan tidak ada sebarang isu yang akan timbul.

"Masalah timbul apabila kedua-dua parti bekerja di tempat sama dan memulakan tohmahan, yang mana situasi ini dapat dielakkan lebih awal.

"Mereka sudah mula bekerja di kerusi di mana kami bertanding sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, keputusan akhir untuk bertanding mana-mana kerusi sudah diputuskan oleh Majlis Tertinggi BN dengan mengambil kira konsensus semua parti.

SUBRAMANIAM (dua dari kanan) memperkenalkan calon BN DUN Buntong, T Thangarani (kanan) ketika hadir di rumah Maliga Santhanam, 69, ketika tinjauan mesra di Kampung Kacang Putih, Buntong. - Foto Muhaizan Yahya
Berita Harian X