Rabu, 25 April 2018 | 4:40pm

BN Sarawak yakin tambah tiga lagi kerusi

KUCHING: Tiga daripada enam kerusi yang terlepas kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berpotensi untuk kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 nanti.

Walaupun enggan menamakan tiga kerusi terbabit, Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya kini yakin ia dapat dicapai berdasarkan maklum balas yang diperolehi dari pelbagai sumber.

Selain itu, kemampuan calon yang ditampilkan juga antara faktor mengukuhkan keyakinan BN untuk memenangi 28 daripada 31 kerusi Parlimen Sarawak pada PRU-14.

"Sudah pasti tiga kerusi itu akan disumbangkan oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan kita amat yakin mereka mampu melakukannya serta kita juga mampu mengekalkan kemenangan di 25 kerusi yang kita sandang.

"Keyakinan rakyat terhadap BN semakin tinggi kerana SUPP terus memberi perkhidmatan kepada rakyat walaupun di kawasan yang mereka tewas pada pilihan raya lalu," katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Watikah kepada 31 calon BN di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Bagi kerusi Selangau dan Lubok Antu yang dianggap 'kawasan panas' berikutan pemecatan dua penyandang dari Parti Rakyat Sarawak (PRS), Nanta berkata, semua pemimpin BN termasuk Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, yakin rakyat di kawasan itu matang dalam membuat pilihan.

"Kita berharap agar Datuk Joseph Entulu Belaun (bekas Ahli Parlimen Selangau) dan Datuk William Nyallau Badak (Lubok Antu) supaya terus bersama BN.

"Kita faham, mereka sudah lama berkhidmat di kawasan masing-masing dan merasakan masih memiliki sokongan yang kuat, tetapi kami berharap mereka tidak menentang BN," katanya.

Mengenai pemilihan semula Datuk Sebastian Ting Chew Yew untuk bertanding di kawasan Miri, Nanta berkata, BN Sarawak yakin dengan kemampuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu.

"Walaupun pernah tewas di kawasan sama pada PRU13, tidak bermakna beliau sudah tidak mendapat sokongan.

"Beliau memiliki aura tersendiri di Miri dan yakin ia akan membantu untuk kita merampas semula kerusi itu dari PKR," katanya.

Mengenai pencalonan Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian di Stampin, Nanta berkata, ia dibuat selepas pihaknya menjangka Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen akan berpindah ke kawasan itu.

"Apabila Chieng Jen mengumumkan untuk berpindah ke kawasan lain, kita sudah jangka tidak mungkin dia akan bertanding di Sibu, sebaliknya mesti memilih kawasan yang berdekatan dengan Bandar Kuching.

"Ternyata jangkaan itu benar dan kini tumpuan sepenuhnya kita berikan untuk memastikan BN merampas semula kerusi itu yang dimenangi DAP pada PRU13," katanya.

DATUK Alexander Nanta Linggi. - Foto NSTP
Berita Harian X