Selasa, 24 April 2018 | 5:33pm
DARI kiri; Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. - Foto NSTP

Calon tanding dua kerusi, strategi BN menang besar

KUALA LUMPUR: Beberapa nama besar yang dicalonkan Barisan Nasional (BN) bertanding di dua kerusi iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah strategi untuk mendapat kemenangan besar, seterusnya memastikan parti memperoleh undi majoriti dua pertiga.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Eric See-To Choong, berkata calon terpilih adalah yang terbaik dan boleh berkhidmat kepada masyarakat di kawasan mereka bertanding, seterusnya memberikan sumbangan kepada negara.

"Strategi BN kali ini jelas untuk memastikan kemenangan besar pada PRU-14 dan mereka dipilih adalah calon terbaik di kawasan berkenaan," katanya mengulas pencalonan calon 'heavyweight' termasuk beberapa nama besar wakil BN yang akan bertanding di dua kerusi DUN dan Parlimen, kali ini.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diumumkan bertanding di Parlimen Pasir Gudang dan DUN Permas dan hari ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir disenaraikan bertanding di Parlimen Lumut serta DUN Pangkor.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed dicalonkan di kerusi tradisinya sejak tiga penggal lalu iaitu Parlimen Jeli dan DUN Ayer Lanas.

Sementara itu, tiga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sarawak turut bertanding kerusi Parlimen iaitu Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian di kerusi Parlimen Stampin, selain di DUN Batu Kawa, manakala penyandang DUN Repok, Samuel Huang pula dipertaruhkan untuk merampas kerusi Parlimen Sarikei serta Setiausaha Agung SUPP, yang juga penyandang DUN Piasau, Datuk Sebastian Ting turut bertanding di Parlimen Miri.

Penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul berkata, usaha meletakkan dua Menteri Besar bertanding di dua kerusi adalah strategi memastikan kemenangan lebih besar di kawasan ditandingi mereka.

Katanya, pencalonan Mohamed Khaled dilihat bagi memastikan kemenangan lebih besar untuk BN, manakala Zambry dicalonkan untuk kerusi Parlimen Lumut supaya merampas kembali Parlimen itu.

"Untuk merampas kembali Parlimen Lumut, sudah tentu memerlukan seorang tokoh tempatan dan Zambry sememangnya layak menggalas tugas itu kerana beliau Menteri Besar.

"Strategi BN untuk menang sebanyak mungkin kawasan Parlimen. Kelebihan Mohamed Khaled dan Zambry kerana mereka adalah Menteri Besar yang memang dikenali ramai dan satu jaminan kemenangan," katanya.

Ditanya langkah BN meletakkan calon 'heavyweight' seperti Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan calon yang membuat kemunculan semula seperti Tan Sri Zulhasnan Rafique serta mereka yang pernah kalah pada PRU-14 seperti Datuk Seri Raja Nong Chik dan Tan Sri Ali Rustam, beliau berkata, mereka mempunyai pengaruh kuat dengan pengundi di kawasan masing-masing.

"BN sekarang dalam 'mood' ingin memenangi sebanyak mungkin kawasan Parlimen. Tidak timbul isu tuan tanah atau 'warlord' tetapi kerana BN meletakkan calon boleh menang di kawasan berkenaan, ia faktor paling penting dipertimbangkan.

"Satu lagi kelebihan calon heavyweight ini kerana mereka mempunyai jentera parti yang menyokong dan paling penting memberi kemenangan kepada parti untuk BN mendapatkan semula majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen," katanya

Berita Harian X