Selasa, 24 April 2018 | 3:26pm
KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan Senarai Calon BN Sarawak PRU14 di Ibu Pejabat Parti PBB Petra Jaya Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Pertembungan 2 seteru di Parlimen Stampin

Kuching: Barisan Nasional (BN) Sarawak mengambil pendekatan berani mempertaruhkan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian berentap dengan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen di Parlimen Stampin.

Pertembungan dua calon 'heavyweight' yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan masyarakat Cina itu pastinya menjanjikan pertandingan paling sengit pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dalam cubaan BN Sarawak menawan 29 kerusi daripada keseluruhan 31 kerusi Parlimen ditandinginya.

BN Sarawak pada PRU-13, menguasai 25 kerusi, manakala DAP menang lima kerusi dan PKR berpuas hati dengan satu kerusi.

Malah, pertembungan 'buku bertemu ruas' antara mereka sebenarnya pernah diramal berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah, pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), Mei 2016, namun tidak kesampaian dengan Chieng Jen kekal mempertahankan DUN Kota Sentosa dengan majoriti 2,819 undi.

Manakala, Kui Hian, menang dengan majoriti 2,085 undi di DUN Batu Kawah, menewaskan calon DAP, Chirstina Chew Wang See dan calon BEBAS, Liu Thian Leong.

Pada PRU-13, calon BN, Yong Khoon Seng, tewas di Stampin kepada calon DAP, Julian Tan Kok Ping, dengan majoriti 18,670 undi.

Sementara itu, Kui Hian yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, berkata beliau tidak pernah gentar berdepan Chien Jen.


MENTERI Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian.

"Suara pengundi di Parlimen Stampin gagal dibawa DAP untuk dibawa ke Parlimen. Saya mahu berkhidmat terutama dalam memperjuangkan masalah kesihatan di seluruh Sarawak.

"Saya juga komited menjaga kebajikan dan mahu mengembalikan hak Sarawak," katanya selepas menghadiri Majlis Pengumuman Calon BN Sarawak PRU-14, di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di Jalan Bako, di sini hari ini.

Parlimen Stampin mempunyai tiga kerusi DUN dengan BN turut menguasai kerusi Batu Kitang, yang dimenangi calonnya, Lo Khere Chiang, dengan majoriti 1,840 undi, selain Batu Kawah menerusi Dr Kui Hian, manakala DAP menguasai kerusi Kota Sentosa.

Saingan merebut Stampin cukup menarik untuk disaksikan kerana bukan sahaja dua individu itu mengetuai parti masing-masing, malah pertandingan keduanya turut membabitkan percaturan taktikal, di mana BN yakin momentum sokongan majoriti di DUN Batu Kawah dan Batu Lintang, memberi kelebihan menumbangkan DAP.

Bagaimanapun, Chieng Jen bukanlah lawan yang boleh dipandang remeh kerana beliau sebelum ini adalah penyandang tiga penggal di kerusi Parlimen Bandar Kuching. Pada PRU-13, Chieng Jen, menang dengan majoriti 19,642 undi di kawasan berkenaan.

SUPP pada PRU-13, hanya menang satu kerusi sahaja di Parlimen Serian, menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Seri Richard Riot Jaem, yang juga Menteri Sumber Manusia, dengan majoriti 13,151 undi.

Pada pilihan raya umum itu, SUPP tewas kesemua kerusi majoriti pengundi Cina di Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang, Sibu dan Miri, selain Serian, yang majoriti adalah pengundi Bumiputera.

Parlimen Stampin antara kerusi bonus 'diintai' BN untuk menang, selain sasaran tiga kerusi lain yang mempunyai prosepk cerah untuk ditawan semula membabitkan kawasan Parlimen Miri, Sarikei dan Sibu.

Keyakinan BN menawan semula kerusi majoriti pengundi Cina adalah berdasarkan momentum keputusan PRN-11, di mana SUPP menang tujuh kerusi di 13 kawasan ditandinginya. Kerusi berkenaan adalah di Opar, Batu Kitang, Batu Kawah, Repok, Meradong, Dudong dan Piasau.

Berita Harian X