Rabu, 18 April 2018 | 5:03pm
PUTERI UMNO Johor, Rohaizah Ahmad. - Foto Shaiffulazhar Misri

Puteri UMNO Johor jaga batas ketika berkempen

JOHOR BAHRU: Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Puteri UMNO Johor mengingatkan ahlinya supaya menjaga tata susila dan tidak memburukkan apa juga keadaan, terutama membabitkan pembangkang.

Ketuanya, Rohaizah Ahmad, berkata berdepan pihak pembangkang yang agresif adalah membimbangkan, namun setiap individu perlu tahu hak dan batas ketika berkempen.

"Saya ingin ingatkan Puteri UMNO, jika ada unsur memburukkan kerajaan atau Barisan Nasional (BN), kita jawablah atau bidaslah dengan maklumat yang tepat.

"Sebagai wanita muda, Puteri UMNO khususnya di negeri ini diharap menjaga susila dan tidak melawan pihak pembangkang dengan cara yang keras," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Rohaizah berkata, masyarakat kini melihat seorang pemimpin atau anak muda yang mampu mendekati pengundi di akar umbi lebih disegani dan dirasai kehadirannya.

Katanya, fitnah yang berleluasa juga perlu dipandang serius dan Puteri UMNO perlu menangkis fitnah atau berita palsu terutama yang viral di media sosial.

"Saya selalu ingatkan ahli supaya bekalkanlah isu yang sebenar melalui media sosial serta sampaikan berita dan maklumat yang tepat dan sahih sahaja.

"Saya ingatkan untuk menggunakan tanda #sebarfaktabukanauta atau #notsuredontshare dan #tidakpastijangankongsi bagi memudahkan pencarian berita yang sahih," katanya.

Rohaizah berkata, pihaknya meneruskan usaha mendekati pengundi dengan mengajak mereka menghadiri bengkel keusahawanan yang dianjurkan.

"Kita masih menganjurkan bengkel keusahawanan dalam membentuk Puteri atau golongan muda untuk membantu menjana pendapatan sendiri," katanya.

Berita Harian X