Ahad, 15 April 2018 | 4:41pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada majlis perasmian pecah tanah RMMJ Bandar Seri Alam di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim

Tunggulah Pengerusi BN umumkan secara rasmi

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan patuh dengan arahan parti sekiranya beliau bertanding di kerusi Parlimen dan pada masa juga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanpaun, beliau berkata, biarlah semua pihak menunggu Pengerusi Barisan Nasional (BN) membuat pengumuman secara rasmi calon yang bertanding di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi BN negeri berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi beliau akan bertanding untuk kerusi Parlimen Pasir Gudang dan DUN Permas.

"Saya ingat kita tunggu pengumuman dibuat sebab selagi pengumuman tak dibuat, ia terus jadi spekulasi.

"Sekarang nak pilihan raya macam-macam spekulasi ada. Jadi, kita tunggu pengumuman Perdana Menteri, mungkin minggu hadapan umum calon, tarikh sebenar saya tidak tahu.

"Saya akan patuh pada arahan parti," katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Bandar Seri Alam, di sini, hari ini.

Semalam, BH Online melaporkan desas-desus kuat di peringkat akar umbi mengenai kedudukan Mohamed Khaled yang dikatakan bakal bertanding di kerusi Parlimen Pasir Gudang, pada masa sama mempertahankan kerusi DUN Permas pada PRU-14 ini.

Menurut sumber, spekulasi Mohamed Khaled turut bertanding di kerusi Parlimen Pasir Gudang timbul berikutan kredibilitinya sentiasa dipandang tinggi penduduk kawasan itu.

Pada PRU-13, Datuk Normala Abdul Samad, memenangi kerusi Parlimen Pasir Gudang dengan majoriti 935 undi menewaskan lawannya iaitu calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Ahmad Faidhi Saidi.

Berita Harian X