Sabtu, 14 April 2018 | 5:04pm

'Nik Omar masih berbincang'

KOTA BHARU: Anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar, belum memberi kata putus untuk bertanding atas tiket Parti Amanah Negara (PAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi PAN Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, berkata pihaknya difahamkan Nik Omar masih berbincang dengan keluarganya.

"Sepatutnya beliau memaklumkan keputusan menerima atau tidak tawaran menjadi calon PAN hari ini, namun setakat ini kita belum menerima kata putus.

"PAN akan menerima apa saja keputusan beliau (Nik Omar)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, PAN berharap anak bekas Mursyidul Am PAS itu bersetuju menerima tawaran menjadi calon pada PRU-14.

Sebelum ini, Wan Abdul Rahim dilaporkan berkata, tawaran kepada Nik Omar dibuat oleh Penasihat PAN Kelantan, Husam Musa dalam beberapa majlis di negeri ini sejak tahun lalu.

Khabar angin mengenai abang sulung kepada Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh, itu bertanding atas tiket PAN bertiup kencang sejak akhir-akhir ini.

Berita Harian X