Isnin, 9 April 2018 | 4:42pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan temui peserta selepas sesi dialog bersama Komuniti Pengurusan Sekolah Cina Sepanggar, di Ibis Style Hotel Inanam. - Foto Lano Lan.

`Pembangkang baca dokumen salah'

KOTA KINABALU: Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, membidas pembangkang yang mendakwa manifesto BN untuk Sabah dikitar semula.

Beliau menegaskan banyak perkara baharu diperkenalkan, termasuk sekolah menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di Sabah dan Sarawak.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha BN Sabah berkata, pembangkang mungkin membaca dokumen yang salah sehingga mengeluarkan kenyataan terbabit.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi, saya adalah sebahagian daripada pasukan manifesto (BN).

"Banyak subjek baharu diperkenalkan dan satunya ialah menubuhkan sekolah Bahasa Inggeris (di Sabah dan Sarawak sebagai perintis).

"Ini sesuatu yang luar biasa dan menarik. Kami ucapkan terima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak kerana bersetuju dengan cadangan dibuat kerajaan negeri dan pemimpin dari Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi dialog bersama Komuniti Pengurusan Sekolah Cina Sepanggar, di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Najib ketika menyatakan aku janji khusus untuk Sabah dan Sarawak sempena pelancaran Manifesto BN berkata, kerajaan BN akan memulakan projek perintis sekolah menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di Sabah dan Sarawak, tanpa meminggirkan bahasa kebangsaan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, usaha mewujudkan sekolah Bahasa Inggeris penting untuk Sabah bagi membolehkan pelajar menguasai bahasa itu, sekali gus menutup jurang antara negeri itu dan Semenanjung.

"Lagipun di Sabah, kami pernah mempunyai sekolah menengah aliran Inggeris dan kami mahu memperkenalkannya semula. Ini akan memberi kelebihan serta daya saing dalam kalangan rakyat Sabah.

"Jadi, itu adalah pengumuman besar. Kerajaan juga bersetuju memastikan tiada perbezaan harga antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, sekurang-kurangnya di peringkat runcit.

"Sebagai contoh, rakyat Sabah tidak lagi perlu membayar lebih RM3,000 sehingga RM4,000 berbanding harga di Semenanjung ketika membeli kereta PROTON kerana akan dapat menikmati harga seragam di seluruh negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman yang disebut-sebut bakal bertanding di Parlimen Sepanggar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), berkata, keputusan tujuh Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Sepanggar untuk melepaskan jawatan tidak akan menjejaskan parti itu.

Semalam, tujuh AJK UMNO Sepanggar melepaskan jawatan berkuat kuasa serta-merta, antara lain didakwa hilang kepercayaan kepada kepemimpinan UMNO bahagian itu.

Berita Harian X