Rabu, 7 March 2018 | 7:54pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron (dua dari kiri) menurunkan tanda tangan sebagai simbolik pelancaran sambil diperhatikan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Datuk Md Yunus Husin (kiri) dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Roslan Ibrahim (dua dari kanan) pada Pra Pelancaran Anugerah Hijau 2018 di Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Manifesto BN Melaka siap

AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) Melaka sudah memuktamadkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan menumpukan perancangan pembangunan jangka panjang untuk rakyat di negeri ini.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Haron, berkata manifesto yang akan diumumkan tidak lama lagi itu turut memuatkan kejayaan Melaka dalam menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) terbaik di negara ini, di samping beberapa pencapaian membabitkan kepentingan rakyat.

Katanya, BN berjaya menepati semua yang dimanifestasikan pada PRU-13 dan kini mewujudkan manifesto baharu yang jelas bukan satu retorik, sebaliknya sesuatu yang akan dilaksanakan jika BN berjaya mendapat mandat menerajui negeri dan negara ini.

"Menerusi manifesto baharu ini, kita akan membina sebuah mesin insinerator di pusat pelupusan sampah di Sungai Udang, selain merealisasikan pembinaan lebuh raya pesisir pantai serta menyediakan sistem rangkaian jalan raya terbaik menerusi Program Penyuraian Trafik, khususnya di kawasan bandar.

"Pembinaan stesen Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) di Durian Tunggal yang menghubung Kuala Lumpur ke Singapura juga akan dibangunkan, di samping pembinaan Pusat Latihan Kesihatan serta Hospital Melaka yang baharu juga dimasukkan dalam senarai janji yang pasti akan ditepati oleh BN negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Seri Negeri, hari ini.

Pada majlis sama, Idris turut melakukan prapelancaran Anugerah Hijau Melaka (AHM) 2018 anjuran Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) yang menyaksikan penyerahan watikah pelantikan kepada 12 panel penilai terdiri daripada penjawat awam di negeri ini.

Katanya, AHM 2018 yang berlangsung pada 14 September depan menampilkan enam kategori iaitu Pembudayaan Hijau yang membabitkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC), institusi pengajian tinggi (IPT), sektor industri dan hotel.

"Kategori lain adalah Projek Hijau, Produk Hijau, Inovasi Hijau, Program Tanggungjawab Sosial Korporat Hijau dan Komuniti Hijau.

"Bermula tahun ini, kategori bagi sekolah rendah dan menengah akan mengguna pakai kriteria Eco-School yang mana sekolah paling aktif dan terbaik melaksanakan inisiatif menerusi program Eco-School Melaka akan diberikan hadiah," katanya.

Berita Harian X