Sabtu, 3 March 2018 | 1:49pm
MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bergambar bersama penerima pantuan pada majlis perasmian MyKasih-Yayasan Pasir Gudang (YPG) Food Programme 2018 di Dewan Serbaguna Masai, Johor Bahru, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Hanya tuduhan sebab tiada isu - MB Johor

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menolak dakwaan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub, dalam ceramah di Muar, malam tadi bahawa beliau dan pegawai kanannya terbabit rasuah.

Menteri Besar Johor berkata, dakwaan Salahuddin itu cuma tuduhan semata-mata dan membuktikan pakatan pembangkang tiada isu baharu.

"Ia hanyalah satu tuduhan sebab dia tidak ada isu lain," katanya pada sidang media selepas merasmikan MyKasih-Yayasan Pasir Gudang (YPG) Food Programme 2018 di Dewan Serbaguna Masai di sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 245 keluarga di Pasir Gudang menerima bantuan sara diri berjumlah RM235,200 sumbangan YPG dan Yayasan MyKasih.

Salahuddin dalam ucapan berkenaan menggambarkan kononnya Mohamed Khaled dan pegawai kanannya terbabit rasuah dengan mendakwa mereka hidup mewah.

Salahuddin sekali gus mendesak Mohamed Khaled dan pegawai kanan berkenaan mengisytiharkan harta serta disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pembangunan Johor berasaskan ekonomi yang sejahtera dengan agenda jelas memanfaatkan rakyat.

Katanya, fokus utama ialah membantu menangani kos sara hidup tinggi, terutama untuk wanita, orang kurang upaya (OKU) dan orang muda.

"Menerusi MyKasih-YPG Food Programme 2018, 245 penerima memperoleh bantuan berupa barangan keperluan dan wang.

"Program ini diperkenalkan pada 2015 dan memberi bantuan kepada penduduk dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG)," katanya.

Melalui program itu, beliau berkata, 100 penerima dipilih pada tahun pertama dengan bantuan berjumlah RM96,000, manakala tahun kedua dan ketiga pula masing-masing 120 penerima membabitkan RM115,200.

Berita Harian X