Jumaat, 2 Februari 2018 | 5:48pm
DATUK Saarani Mohamad.- Foto Muhaizan Yahya

Tuduhan Koo Ham isu `kitar semula' - Saarani

IPOH: Tuduhan Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, berhubung pembayaran bonus dan kenderaan mewah yang dikaitkan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, adalah isu `kitar semula' yang sudah dijawab sebelum ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata tuduhan itu sengaja dilakukan untuk memburuk-burukkan kepemimpinan kerajaan negeri sedangkan ia sudah dijawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan di luar DUN berserta bukti kukuh.

"Adalah sesuatu yang dangkal untuk mendesak Zambry meletakkan jawatan atas tuduhan tidak berasas.

"Pada sidang media (semalam), Koo Ham dan beberapa pemimpin pembangkang berkali-kali menyebut perkataan skandal sedangkan perkara itu tidak pernah berbangkit sama sekali," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada sidang media semalam, Koo Ham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan dilaporkan menunjukkan dokumen mendakwa Zambry menerima bonus RM115,000 kerana mengetuai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan mendakwa menggunakan PKNP untuk membeli kereta Audi Q7 berharga RM620,996.92.

Ahli Parlimen Beruas itu dipetik sebagai berkata, satu laporan polis sudah dibuat berhubung `maklumat bocor' itu yang dikatakan diperoleh daripada PKNP pada 20 Disember 2017.

Saarani yang juga Ketua Whipp ADUN Perak berkata, penjelasan mengenai pembayaran bonus itu sudah berkali-kali dilakukan bahawa ia dibayar ketika PKNP berjaya menjana keuntungan.

Beliau berkata, bayaran itu bukan saja diterima Menteri Besar selaku Pengerusi, tetapi juga pegawai dan kakitangan PKNP.

Katanya, kereta yang dibeli PKNP untuk kegunaan Menteri Besar pula bukan milik peribadi Zambry seperti didakwa, tetapi untuk kegunaan syarikat.

"Jika dua perkara ini menjadi kayu ukur kepada Koo Ham dan pemimpin pembangkang untuk membuat tuduhan terhadap Zambry, maka timbul persoalan sama ada mereka juga akan mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, meletak jawatan kerana menerima bonus jauh lebih tinggi selaku pengerusi pelbagai agensi dan anak syarikat kerajaan negeri di Selangor.

"Jika Koo Ham dan kepemimpinan DAP begitu serius melawan skandal, mereka perlu mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, meletak jawatan kerana sedang bergelut dengan dakwaan skandal ratusan juta ringgit termasuk skandal banglo mewah dan Projek Terowong Dasar Laut," katanya.

Saarani berkata, ia secara tidak langsung membuktikan sikap hipokrit tahap tinggi yang dimiliki pemimpin DAP di Perak dengan mencipta skandal dan fitnah untuk memburuk-burukkan orang lain, tetapi menutup mata serta mengunci mulut terhadap skandal dihadapi pemimpin mereka sendiri.

"Strategi menyerang Zambry ini hanya disebabkan faktor politik semata-mata. Mereka tahu selagi Zambry memimpin kerajaan negeri, mereka tidak ada isu untuk dibangkitkan, malah ulasan dalam portal berita yang condong kepada mereka (pembangkang) mengakui Zambry adalah batu penghalang untuk mereka menawan Perak," katanya.

Berita Harian X