Sabtu, 20 Januari 2018 | 2:43pm
KETUA MCA Bahagian Kapar, Datuk Song Kee Chai. - Foto Faiz Anuar

SPR 'terlampau ikut' kerajaan Selangor

SHAH ALAM: MCA Bahagian Kapar mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlampau mengikut telunjuk Kerajaan PKR Selangor dalam isu persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri ini.

Ketuanya, Datuk Song Kee Chai, berkata SPR sepatutnya memindahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang yang ketika ini di bawah kawasan Parlimen Kapar ke Klang, namun ia dikekalkan selepas dibantah kerajaan negeri.

"Parlimen Kapar mempunyai 146,000 pengundi, Kota Raja (110,000) dan Klang (98,000). Persoalannya kenapa Parlimen Klang sedikit pengundi sedangkan ia adalah kawasan bandar?

"Parlimen Kapar juga ada empat DUN iaitu Meru, Sementa, Selat Klang dan Sungai Pinang, manakala Pelabuhan Klang, Pandamaran dan Kota Alam Shah di bawah Parlimen Klang.

"Adakah SPR sedar bahawa Pulau Ketam di bawah DUN Selat Klang serta Parlimen Kapar? SPR perlu ambil kira kepayahan untuk ke Pulau Ketam menggunakan bot, selain dibebani bilangan pengundi yang ramai," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Kee Chai berkata, SPR dilihat masih mengekalkan sebilangan besar sempadan pilihan raya yang menyebabkan bilangan pengundi, pembahagian kerusi DUN dan kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak seimbang.

"SPR diharap dapat mengambil kira pandangan MCA dan Barisan Nasional (BN) Selangor. BN Selangor akan mengemukakan bantahan terhadap SPR mengikut peraturan dan saluran yang betul sebelum 14 Febuari depan," katanya.

Semalam, Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar membantah cadangan kedua persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN di negeri ini.

Noh berkata, kajian yang dipamerkan SPR dilihat memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan, selain tidak mengambil syor dikemukakan BN Selangor.

Katanya, pengagihan kerusi DUN tidak adil apabila Parlimen Kota Raja yang mempunyai 110,000 pengundi hanya memiliki kerusi DUN Sri Andalas dan Sri Muda, sedangkan Parlimen Klang dengan 98,000 pengundi memiliki DUN Pelabuhan Klang, Pandamaran dan Kota Alam Shah.

Noh turut mempersoalkan Parlimen Kelana Jaya yang mempunyai DUN Seri Setia dan Subang, namun di bawah pentadbiran PBT berbeza, masing-masing di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

22 dibaca
Berita Harian X