Isnin, 15 Januari 2018 | 3:26pm
NORMAN Toha.- Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Azmin berunding senyap dengan PAS Selangor?

SHAH ALAM: Seorang bekas pemimpin PAS mendakwa kerajaan PKR Selangor masih melakukan rundingan dengan PAS negeri ini bagi membentuk kerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bekas Setiausaha PAS Selangor, Norman Toha, berkata perbincangan diketuai Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan beberapa pemimpin PAS negeri itu dilakukan tanpa pengetahuan pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain.

"Berdasarkan maklumat yang saya dapat, pertemuan dengan pemimpin PAS diatur Mohamed Azmin sendiri. Dia berharap dapat membentuk persefahaman antara kedua-dua parti ini.

"Mohamed Azmin bukan jumpa semua pemimpin atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS, tetapi jumpa beberapa pemimpin utama PAS Selangor saja.

"Rundingan ini bukan antara PH dengan PAS, tetapi antara PKR dengan PAS. Ini kerana PKR berharap PAS dapat membentuk kerjasama politik untuk memenangkan blok pembangkang pada PRU-14 nanti," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Norman berkata, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor secara konsisten berpendirian untuk bekerjasama dengan PAS, malah mempertahankan EXCO PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri, walaupun dibantah DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

"PKR masih harapkan PAS untuk bersama blok pembangkang kerana PKR tidak yakin dengan kemampuan PAN menggantikan PAS. Tindakan Mohamed Azmin ini sudah tentu menambahkan lagi kemarahan PAN dan DAP," katanya.

Sebelum ini, Mohamed Azmin dilaporkan berkata, PKR bersedia membuka pintu rundingan dengan PAS untuk membentuk kerjasama pada PRU-14, dengan menegaskan ia adalah inisiatif PKR untuk mengukuhkan blok pembangkang bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, tindakan Mohamed Azmin dalam menangani isu kerjasama dengan PAS sebagai penyebab perpecahan dalam parti.

Selain itu, Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad menggesa Mohamed Azmin patuh dengan keputusan PH untuk menghentikan sebarang rundingan dengan PAS.

Berita Harian X