Ahad, 7 Januari 2018 | 7:05pm
PENGERUSI Parti Amanah Negara (PAN) Johor, Aminolhuda Hassan. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Ketidakadilan agihan kerusi punca PAN Johor boikot konvensyen

SHAH ALAM: Ketidakadilan agihan kerusi untuk ditandingi, menyebabkan barisan kepemimpinan Parti Amanah Negara (PAN) Johor memboikot konvensyen pakatan pembangkang di Pusat Konvensyen IDCC, di sini, hari ini.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan, yang mengetuai tindakan itu, berkata pihaknya memulaukan persidangan terbabit kerana tidak berpuas hati apabila hanya diberikan dua kerusi Parlimen untuk ditandingi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

"PAN Johor minta bertanding pada lima kerusi Parlimen tetapi hanya diberikan dua iaitu Parit Sulong dan Pulai. Jadi kita ingat tak payah datanglah (konvensyen). Semua pemimpin PAN Johor tidak datang," katanya ketika dihubungi.

Aminolhuda menegaskan, tindakan itu juga sebagai isyarat kepada kepemimpinan pakatan supaya menyelesaikan isu itu dengan lebih terbuka dan telus.

"Amanah bukan mahu mengugut. Itu bukan cara kami, namun mahu kepemimpinan memahami tindakan ini adalah untuk kebaikan bersama khususnya bagi mencapai kemenangan.

"Kelima-lima kerusi Parlimen yang kami minta adalah majoriti pengundi Melayu dan ditandingi calon daripada parti PAS dalam pilihan raya umum lalu, jadi kami rasa permintaan itu bukanlah tidak munasabah, " katanya.

Daripada 26 kerusi Parlimen di Johor, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dijangka meletakkan calon pada 10 kawasan, diikuti PKR dengan lapan kerusi dan DAP dikatakan bakal bertanding pada enam kawasan, meninggalkan PAN dengan hanya dua kerusi.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub, berkata pihaknya akan cuba mendapatkan lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor.

Beliau berkata, kepemimpinan PAN peringkat Pusat, melihat ruang lingkup yang lebih besar demi pakatan pembangkang, walaupun sedar risiko bakal dihadapi parti itu apabila hanya diberikan dua kerusi Parlimen di Johor.

"Jumlah kerusi (Parlimen) di Johor terlalu kecil, jadi kami bersedia mendapat lebih banyak kerusi DUN dan akan berusaha untuk itu. Saya hormati dan menghargai apa yang berlaku di Johor (pemulauan konvensyen pakatan) kerana mereka menyuarakan perasaan tidak puas hati.

"Kita bergerak ke hadapan, saya tidak fikir (boikot akan melanggar muafakat dalam pakatan pembangkang). Kita sudah biasa, bukan baru kita sertai politik," katanya.

17 dibaca
Berita Harian X