Khamis, 4 Januari 2018 | 6:17pm
DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. - Foto Surianie Mohd Hanif

Tun M tanam kebencian terhadap PAS - Mohd Khairuddin

KUALA LUMPUR: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menyerang PAS dengan sengaja membangkitkan isu kafir mengkafir dilihat cubaan menanam kebencian terhadap PAS dan menjauhkan masyarakat Islam daripada parti itu.

Pengarah Institut Strategi PAS Pusat (ISP), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata perkara itu adalah strategi Dr Mahathir ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

Namun, katanya, masyarakat Islam boleh menilai pendekatan semasa PAS yang harmoni.

" PAS sudah jauh menapak ke depan dengan budaya politik matang dan sejahtera yang diperkenalkan sejak akhir 2015 bagi menyantuni masyarakat Melayu Islam pelbagai peringkat, sesuai dengan realiti semasa kefahaman masyarakat mengenai Islam.

"Dr Mahathir pula mahu undur ke belakang melihat senario dakwah hampir 40 tahun lalu. Sewajarnya juga rakyat menilai kembali gaya pemerintahan Dr Mahathir dan sikapnya terhadap dakwah Islam sepanjang dekad pemerintahan beliau.

"Usah diharap untuk seorang yang mempunyai rekod yang kurang baik terhadap agenda Islam seperti menghapuskan geran perkapita sekolah agama rakyat untuk kembali ke tampuk pemerintahan. Usah undur ke belakang," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau mengulas serangan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yang melabelkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebagai kafir dan pengkhianat kerana bekerjasama dengan UMNO.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, Hadi hanya menggunakan Islam kerana pernah mendakwa kerajaan sebagai kafir dan wajar ditentang.

Mohd Khairuddin berharap tiada ilmuwan Islam termasuk mufti yang menari mengikut tarian Dr Mahathir menyerang PAS dalam agenda yang sama.

Katanya, 'Amanat Haji Hadi' dijadikan sasaran kononnya penyebab kepada perpecahan.

"Hakikatnya pemecah belah adalah golongan yang lari dari landasan Islam yang sebenar, bukannya pendakwah yang menyeru manusia kembali kepada Islam. Saya menyeru semua bersikap adil menilai 'Amanat Haji Hadi' secara ilmiah dan akademik," katanya.

Beliau menjelaskan, 'Amanat Haji Hadi' menjelaskan dasar dan prinsip 'amar makruf nahi mungkar' dan menjelaskan perkara yang boleh membatalkan syahadah, bukannya mengkafirkan orang UMNO.

"Itu adalah tuduhan dan tohmahan tidak berasas," katanya sambil menambah, PAS tidak pernah mengkafirkan orang UMNO yang ISLAM sebagaimana dakwaan Dr Mahathir.

"PAS hanya menjelaskan perkara yang boleh membatalkan syahadah dan menjadi kufur agar umat berhati-hati. Adapun menghukum seseorang Islam secara individu sebagai kafir bukannya tugas pendakwah tetapi hakim di mahkamah setelah ditegakkan hujah.

"Seorang yang melafazkan kata kufur tidak semestinya terus menjadi kafir melainkan apabila cukup segala syarat yang mengesahkan dirinya terkeluar daripada Islam.

"Alhamdulillah setelah dakwah yang panjang memakan masa puluhan tahun, hari ini masyarakat Islam semakin memahami kewajipan menegakkan Syariat Allah dalam perundangan jenayah.

"Kata-kata penghinaan seumpama itu sudah tidak kedengaran lagi melainkan daripada segelintir yang masih lagi bebal mengenai hukum Islam," katanya.

Berita Harian X