Isnin, 1 Januari 2018 | 4:38pm
SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, (tengah) menunjukkan nota mengenai perletakan jawatan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika mengadakan sidang media di Hotel Habib Jewel, Kota Bharu. - Foto Faris Zainuldin.

Serangan Tun M terhadap PAS punca gagal rundingan

KOTA BHARU: Serangan berterusan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap PAS menjadi punca kegagalan rundingan untuk parti itu mengadakan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), tahun lalu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, yang turut terbabit dalam rundingan berkenaan, berkata walaupun Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang melakukan perbincangan, namun segala keputusan banyak tertakluk kepada persetujuan Dr Mahathir.

"Jadi, bagi saya, tidak pelik kenapa Dr Mahathir menyerang PAS kerana beliau sudah sememangnya begitu. Namun, mungkin kali ini dia ibaratkan melepaskan semua 'pelurunya' susulan usahanya mendapatkan kerjasama dengan PAS gagal.

"Serangan Dr Mahathir terhadap PAS adalah biasa, jika beliau puji PAS, itu menjadi luar biasa. Beliau juga terkenal sebagai individu yang terlalu anti kepada orang beragama termasuk terbaharu mengenai mufti," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Kelmarin, Dr Mahathir ketika ucapan penggulungan pada perhimpunan agung tahunan PPBM, dilaporkan berkata, mufti sepatutnya menegur amanat Abdul Hadi pada 1981.

Pengerusi PPBM berkenaan turut mendakwa, kegagalan mufti menegur amanat berkenaan mendorong penyokong PAS menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan keganasan seperti peristiwa Memali pada 1985.

Mengulas persediaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Takiyuddin berkata, pihaknya sudah melakukan persediaan menghadapi PRU termasuk meletakkan 30 peratus calon muka baharu yang akan bertanding di Kelantan.

"Walaupun tahun ini kita menghadapi PRU, namun Muktamar PAS tetap diadakan seperti biasa dengan melihat keadaan nanti.

"Kita menetapkan Muktamar PAS Pusat pada 4 hingga 6 Mei ini di Pahang selepas mesyuarat PAS peringkat cawangan seluruh negara diadakan bermula esok (40 hari), serta peringkat kawasan bermula 11 Februari (36 hari)," katanya.

Berita Harian X