Ahad, 31 Disember 2017 | 1:13pm

Memfitnah mufti keterlaluan: Azmin

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, membidas pihak yang memfitnah mufti untuk kepentingan politik.

Beliau berkata tindakan itu termasuk merendah-rendahkan atau memalukan mufti yang disifatkannya tidak wajar.

Beliau tidak menamakan pihak terbabit tetapi mengeluarkan kenyataan menerusi Twitter selepas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, menyalahkan mufti kerana tidak menegur 'Amanat Haji Hadi' yang didakwa menjadi punca tragedi Memali.

"Tidak wajar mana-mana individu mempersendakan dan memperlekehkan mufti kerana kepentingan politik.

"Kita boleh berbeza pandangan tapi jangan aibkan orang lain.

"Memfitnah mufti adalah satu tindakan keterlaluan. Taubat nasuha. Hentikan sandiwara," kata Azmin dalam mesej Twitter.

Semalam Dr Mahathir ketika ucapan penggulungan pada perhimpunan agung tahunan PPBM berkata mufti sepatutnya menegur amanat yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun 1981 yang didakwa mendorong penyokongnya menentang UMNO dan Barisan Nasional dengan keganasan seperti peristiwa Memali pada tahun 1985.

"Saya ingin bertanya kepada mufti yang menjadi Penasihat Raja, apabila PAS mendakwa bahawa orang yang tidak menyertai mereka adalah kafir, kenapa mufti hanya diam dan tidak menyangkal kenyataan itu?

"Inilah hasil daripada fatwa yang dikeluarkan oleh orang politik yang tidak ditangkis oleh mufti," kata Dr Mahathir.

Berita Harian X