Sabtu, 9 Disember 2017 | 3:13pm
WARTAWAN BH, Syed Azwan Syed Ali (kiri) bersama Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya ketika sesi FB Live BH di Bilik Operasi NSTP di Pusat Dagangan Putra (PWTC). -Foto Aswadi Alias

Baitulmaqdis bukan isu UMNO atau PAS

KUALA LUMPUR: Isu Baitulmaqdis yang kini cuba diiktiraf Amerika Syarikat (AS) sebagai ibu kota rejim zionis Israel, bukan isu UMNO atau PAS, sebaliknya isu umat Islam seluruh dunia.

Ia juga isu kemanusiaan sejagat membabitkan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang memerlukan pembelaan semua pihak.

EXCO Pemuda UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, pendekatan Malaysia untuk membangkitkan isu Baitulmaqdis di perhimpunan tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Turki minggu depan adalah tekanan diplomatik kepada AS dan Israel.

Katanya, ia juga menggambarkan pendekatan sabar dalam Islam yang tidak terburu-buru dalam membuat tindakan untuk mengelakkan mudarat.

"Saya yakin Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) akan bawa suara rakyat Malaysia, beliau bukan bercakap atas kapasiti Presiden UMNO.

"Ini bukan isu UMNO, ini bukan isu PAS, ini adalah isu umat Islam dan isu kemanusiaan sejagat. Orang Kristian juga perlu bersuara," katanya dalam program Bicara BH "Baitulmaqdis: Bermulanya Titik Penyatuan Umat Islam" melalui FB Live BH Online sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Kelmarin, Najib dalam ucapan dasar Presiden UMNO mengecam keras tindakan Presiden AS, Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel selain memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke wilayah konflik itu.

Fathul Bari berkata, Trump berani bertindak demikian kerana perpecahan negara Islam, khususnya negara Arab yang sepatutnya membela Al-Quds.

"Isu Palestin, isu Baitulmaqdis berkait rapat dengan akidah umat Islam. Ia akan bangkit reaksi spontan umat Islam. Soal kedua adalah soal kemanusiaan soal merampas hak milik manusia (warga Palestin) yang bertentangan undang-undang antarabangsa," katanya.

Ditanya tentang intifada atau kebangkitan umat Islam, Fathul Bari berkata, umat Islam perlu mengambil pendekatan sabar yang proaktif, misalnya menghantar nota bantahan kepada AS.

"Sabar bukan bermaksud pasif, sabar dalam Islam bermaksud proaktif. Sabar dengan hantar memorandum kepada AS. Tak sabar itu kalau bom, rempuh dan runtuhkan kedutaan. Itu tak sabar dan itu salah dalam Islam," katanya.

Fathul Bari berkata, adalah menjadi hak warga Palestin yang ditindas untuk menentang Israel, bagaimanapun umat Islam juga perlu ada perancangan dan persediaan.

Ditanya mengenai penyebaran berita di Internet, kononnya Putera Mahkota Arab Saudi pernah mengusulkan alternatif kepada ibu kota Palestin, Fathul Bari berkata, ia adalah laporan palsu sepertimana laporan mendakwa putera Mohammed bin Salman membeli lukisan antik bernilai AS$450 juta (RM1.84 bilion).

"Ia tidak sahih begitu juga cerita tadi (alternatif ibu kota Palestin selain Baitulmaqdis) disebar untuk memburukkan keadaan," kata Fathul Bari merujuk kepada tindakan melaga-lagakan negara Islam.

Fathul Bari berkata umat Islam juga mempunyai pilihan untuk mengambil pendekatan lain bagi mengelakkan pertumpahan darah sepertimana dilakukan Rasullullah S.A.W dalam Perjanjian Hudaibiyah yang berat sebelah kepada umat Islam.

"Sebahagian ulama kata perlu ada penghijrahan, bukan membiarkan Palestin tetapi hijrah untuk tujuan persediaan (menentang musuh) kecuali rakyat Palestin sendiri nak lawan. Dalam situasi sekarang pentingnya bertabayun (melakukan semakan)," katanya.

Beliau berkata penyatuan negara-negara Arab adalah kunci penting negara Islam untuk membebaskan Al-Quds.

Berita Harian X