Selasa, 5 Disember 2017 | 9:22pm
BUDIMAN Mohd Zohdi. - Foto Sairien Nafis

Zaid Ibrahim biadap

KUALA LUMPUR: Kenyataan balas Ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim, terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, jelas cuba menafikan peranan Raja-Raja Melayu dan secara nyata menunjukkan sikap angkuh dan biadap beliau.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, berkata setiap rakyat di negara ini terutamanya rakyat Selangor harus menilai tindak-tanduk biadap pembangkang dan seharusnya bersatu mempertahankan titah Sultan Selangor itu.

"Raja-raja Melayu adalah tiang utama negara ini. Setiap titah ucapan Raja-Raja Melayu sudah tentu dibuat selepas dibuat pertimbangan dari setiap sudut. Adalah tugas baginda bagi memastikan kedudukan negara berada dalam keadaan yang terbaik. 

"Titah Sultan Selangor juga bukanlah menunjukkan baginda cuba bermain politik tetapi ia adalah suatu bentuk peringatan baginda yang sentiasa sayangkan negara ini," katanya

Budiman, yang juga ADUN Sungai Panjang menambah, titah Sultan Selangor harus dilihat dari sudut yang positif betapa sayangnya baginda kepada rakyat dan negara ini.

"Sudahlah titah Sultan Selangor bulan lalu berkenaan kenyataan rasis Tun Dr Mahathir mengenai bangsa Bugis tidak mahu dibincangkan di Dewan Negeri, kini mereka mempertikaikan pula titah Sultan Selangor.

"Seperti kebiasaannya, pembangkang tidak pernah berhenti bermain politik dan sekali lagi menunjukkan sikap kurang ajar mereka terhadap institusi Diraja," katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor bertitah mengenai kegusaran baginda terhadap golongan yang membangkitkan isu sensitif bagi kepentingan peribadi dan demi menarik undi.

Baginda juga bertitah bahawa Tun Dr Mahathir mempunyai "rasa rendah diri yang kompleks dan kebencian mendalam" yang boleh "membakar seluruh negara".

Namun, titah Sultan Selangor itu mengundang rasa kurang senang pemimpin pembangkang seperti Zaid Ibrahim, yang menyatakan Sultan Selangor harus berhati-hati dalam mengeluarkan titah dan tidak cuba bermain dengan politik kepartian.

Berita Harian X