Rabu, 1 November 2017 | 7:34am
M Kayveas (empat dari kiri) bersama penerima anugerah pelajar cemerlang di Majlis Makan Malam dan Graduasi PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) ST Thomas, Kuantan di Grand DarulMakmur Hotel, Kuantan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Kayveas tetap mahu Cameron Highlands

KUANTAN: Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas bertegas bertanding di Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, walaupun MIC menyatakan ia kerusi tradisinya.

Beliau berkata, partinya sudah memberi laluan kepada MIC untuk bertanding di situ pada PRU sebelum ini dan sudah sampai masanya untuk MyPPP bertanding di kawasan berkenaan.

"Saya ada jumpa Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam baru-baru ini. Saya akan jumpa dia lagi sekali dalam masa terdekat untuk tengok balik perkara ini.

"Dia pernah kata ia kerusi (tradisi) mereka, sedangkan ia (Cameron Highlands) sebenarnya milik MyPPP. Ada sejarah mengenai kerusi itu dan dia patut tahu siapa yang sepatutnya bertanding .

"Saya percaya pucuk pimpinan BN yang diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak boleh buat keputusan tepat bagi memastikan kerusi Parlimen Cameron Highlands kekal milik BN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Graduasi dan Makan Malam Amal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas, Kuantan, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Pengetua SMK St Thomas, P Murugan dan Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Rozaini Mohd Nor.

Pada majlis itu, Kayveas mengumumkan sumbangan RM10,000 untuk Tabung PIBG sekolah itu dan tajaan berjumlah RM48,000 untuk guru dan pelajar SMK St Thomas yang akan menyertai program di Jepun pada Julai tahun hadapan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas lanjut mengenai kemungkinan kerusi Parlimen Cameron Highlands diberikan kepada MIC, Kayveas berkata, hanya Najib yang boleh membuat keputusan muktamad dan MyPPP konsisten dengan pendirian mereka untuk bertanding di kerusi berkenaan.

"Kami sudah buat kerja di sana (Cameron Highlands) sejak Januari tahun 2015. Banyak program yang kami buat dan semua 28 sekolah di Cameron Highlands juga menerima pelbagai bantuan melalui program yang MyPPP lakukan.

"Kami juga berjaya mendaftarkan kira-kira 5,000 pengundi baharu di Cameron Highlands dan mereka ini penyokong BN. Saya yakin, jika saya dipilih sebagai calon, tidak ada masalah untuk BN menang dengan majoriti sangat selesa," katanya.

Berita Harian X